ALOR GAJAH: Barisan Nasional (BN) Melaka mendakwa sedang mendahului pesaing-pesaing lain menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, BN menyasarkan empat kerusi boleh menang iaitu Parlimen Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu dan Jasin.
Jelasnya, kawasan sasaran tersebut telah dibuat kajian dan BN sedang membina keyakinan rakyat agar tidak membuat keputusan salah untuk kali kedua.
“Kalau tanya siapa juga parti yang bertanding, dia kata boleh menang dan tidak akan mengaku kalah. Sebenarnya dalam melancarkan strategi pilihan raya, orang Melaka tahu bahawa parti yang mempunyai struktur di peringkat akar umbi adalah UMNO.
“Kita sudah sampai ke hampir garisan penamat dan sedang mendahului pesaing-pesaing lain. Kalau boleh kita mahu sasarkan menang enam kerusi, tetapi adalah mustahil untuk menang kesemuanya melainkan berlaku perkara di luar jangkaan.
“Tetapi kita menyasarkan empat kerusi boleh menang iaitu di Parlimen Masjid Tanah, Alor Gajah, Jasin dan Tangga Batu,” katanya kepada pemberita selepas program di Universiti Melaka, Kuala Sungai Baru di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ab. Rauf berkata, beliau yakin rakyat tidak akan keliru dengan pelbagai tinjauan pendapat atau dapatan kajian mengenai ramalan keputusan PRU15, terutamanya dalam media sosial ketika ini.
Katanya, rakyat mengetahui bahawa media sosial adalah terbuka dan sesiapa sahaja boleh menzahirkan pandangan tanpa perlu melalui proses saringan.
“Saringan ini mestilah berdasarkan agensi-agensi yang diberikan pengiktirafan dan kebolehpercayaan kita terhadap pengkaji yang tidak memihak kepada mana-mana pihak. Misalnya lapan atau sembilan daripada 10 pihak akan menafikan mereka pernah membuat kajian seperti yang didedahkan di media sosial.
“Tapi yakinlah bahawa apa juga kekeliruan yang dicetuskan, rakyat tidak keliru kerana mereka sudah tahu. Sekali terkena selama 22 bulan, dua kali mereka tahu,” ujarnya. – UTUSAN