Calon PN tidak akan beri laluan mudah di Parlimen Bukit Mertajam - Utusan Malaysia

Calon PN tidak akan beri laluan mudah di Parlimen Bukit Mertajam

CALON PN di Parlimen Bukit Mertajam, Steven Koh mengibarkan bendera Pas ketika Pelancaran Kempen PRU15 peringkat Pas Pulau Pinang di Kepala Batas, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: “Ya, saya memang seorang aktivis (kebajikan) masyarakat. Tapi, saya tidak akan jadikan perkara itu sebagai modal semata-mata ketika berkempen.”

Itu kata calon parti Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Bukit Mertajam, Steven Koh, 41, yang mewakili Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) atas tiket Pas.

Usahawan berasal dari Klang, Selangor yang telah empat tahun terlibat dengan kerja-kerja kebajikan itu berkata, beliau memiliki strategi serta pendekatan sendiri untuk memenangi hati pengundi di kawasan tersebut yang sememangnya dikenali sebagai kubu kuat DAP sejak sekian lama.

Mengakui Bukit Mertajam hampir sukar digugat daripada ‘cengkaman’ DAP, bapa kepada seorang cahaya mata itu bagaimanapun berikrar akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya sebagai calon wakil rakyat dengan sehabis baik.

“Kita tak akan gentar dan akan lawan habis-habisan. Dengan kekuatan jentera yang ada, saya tidak akan memberikan laluan mudah kepada mereka, itu janji saya.

“Ya, Steven (Koh) akan lawan Steven (calon DAP yang juga penyandang kerusi Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim) selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Pas negeri di Markaz Tarbiyyah Pongsu Seribu di sini, malam tadi.

Selain beliau, kerusi Parlimen Bukit Mertajam turut ditandingi calon Barisan Nasional (BN), Tan Yang Pang dalam pertembungan tiga penjuru.

Pada PRU14, Steven Sim ‘menang besar’ dengan majoriti 52,877 undi selepas memperoleh 63,784 undi dengan menewaskan calon BN, Gui Guat Lye (10,907 undi) dalam pertembungan satu lawan satu.

Mengulas lanjut, Koh yang juga satu-satunya calon PN bagi kerusi Parlimen yang bertanding atas tiket Pas (DHPP) di Pulau Pinang berharap usahanya mendekati seberapa ramai pengundi di Bukit Mertajam sepanjang tempoh berkempen akan mendapat sokongan semua pihak.

Selain Parlimen Bukit Mertajam, Pas (DHPP) juga meletakkan tiga calon yang akan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak iaitu di Jelapang, Sungkai dan Pasir Bedemar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya