Calon Melayu mampu roboh kubu kuat DAP di Kota Melaka - Utusan Malaysia

Calon Melayu mampu roboh kubu kuat DAP di Kota Melaka

MICHAEL Gan Peng Lam (dua dari kanan) dan Suhaime Borhan (tengah) mengadakan sidang akhbar di Pejabat Gerakan di Melaka Raya, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kubu kuat DAP di Parlimen Kota Melaka bakal tumbang kali kedua selepas Barisan Nasional (BN) menawan kerusi itu pada 2004 dan ia mungkin berulang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kali ini calon Melayu, Suhaime Borhan, 43, yang diketengahkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia
(Gerakan) mewakili Perikatan Nasional (PN) bertanding buat pertama kali dalam sejarah dilihat mampu melakar kejutan menewaskan penyandang kerusi, Khoo Poay Tiong.

Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam berkata, beliau tidak sangsi dengan keupayaan Suhaime membuat kejutan walaupun pada tradisinya hanya calon Cina bertanding di Kota Melaka.

Menurutnya, keputusan yang diambil parti meletakkan calon Melayu merupakan hasil penyelidikan yang merumuskan peluang untuk menang di situ adalah cerah.

“Saya harap Suhaime dapat memecah rekod dan mencipta sejarah sebagai orang Melayu pertama dalam politik Malaysia menang di kerusi Parlimen Kota Melaka yang majoritinya ramai pengundi Cina dan merupakan kubu kuat DAP.

“Mungkin kalangan parti politik tidak percaya dengan keputusan Gerakan meletakkan calon Melayu kerana secara tradisinya sejak dahulu, kawasan ini ditandingi calon bangsa Cina dan persaingan antara DAP dan BN.

“Saya yakin dengan keupayaan Suhaime yang juga Naib Pengerusi Gerakan Melaka menjadi calon buat PN dan dilihat boleh membuat kejutan merobohkan kubu kuat DAP,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat parti itu di Melaka Raya, Banda Hilir di sini semalam.

Pada PRU15, Suhaime berdepan saingan empat penjuru ditentang Poay Tiong; calon BN, Kon Qi Yao dan seorang calon Bebas, Datuk Dr. Norazlanshah Hazal.

Tambah Michael, peratusan pengundi Melayu di Kota Melaka telah meningkat daripada 38 peratus kepada 43 peratus manakala pengundi India turut meningkat sebanyak lima peratus, memberi petanda positif ke arah kemenangan PN.

“Saya andaikan hanya 52 peratus pengundi Cina layak mengundi akan berpecah kepada DAP dan BN, undi Melayu dijangka boleh diperoleh Suhaime walaupun terdapat seorang calon Bebas turut bertanding di situ,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya