BERA: Kerajaan komited meneruskan tiga fokus utama membabitkan infrastruktur, pendidikan dan sosioekonomi bagi memastikan kehidupan pembangunan masyarakat Orang Asli di negara ini kekal terbela.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam Bajet 2023, RM305 juta diperuntukan berbanding RM234 juta sebelum ini khas bagi masyarakat berkenaan.
Tegasnya, tiga fokus itu menunjukkan kesungguhan kerajaan menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli.
“Fokus pertama adalah pembangunan infrastruktur di perkampungan Orang Asli dan seperti yang kita tahu, banyak yang perlu dilakukan lagi.
“Macam kampung Orang Asli di sini sudah besar, sudah ada infrastruktur dan sebagainya, tapi kadang-kadang mereka membina kampung yang baru kedudukannya agak terpencil,” katanya kepada pemberita selepas program bersama masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Tuang di sini hari ini.
Ismail berkata, fokus kedua kerajaan adalah memastikan masyarakat Orang Asli mendapat akses pendidikan sebaik mungkin.
Katanya, isu keciciran dalam kalangan anak Orang Asli tidak sepatutnya berlaku dan kerajaan sentiasa mencari jalan agar perkara tersebut dapat dielakkan.
“Kita bukan saja perlu mengurangkan kadar keciciran dalam kalangan Orang Asli, sama ada peringkat sekolah rendah, sekolah menengah atau peringkat pengajian tinggi.
“Pada masa sama, Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga mempunyai program khas untuk menghantar anak Orang Asli ke luar negara dengan biasiswa penuh dan sasaran kita minimum 10 orang setiap tahun,” katanya.
Beliau turut memberitahu, fokus ketiga kerajaan adalah meningkatkan pendapatan Orang Asli dengan pelbagai pendekatan dan insentif.
Katanya, antara usaha sudah dilakukan ialah program tanam semula getah melalui RISDA di kawasan penempatan Orang Asli.
“Macam di Kampung Sungai Tuang ini, ada program dengan kerjasama RISDA, yang diuruskan RISDA. Begitu juga dalam Bajet 2023 turut menyediakan bantuan lain seperti tabung usahawan untuk belia Orang Asli, ini pun kita sediakan,” katanya.