Aura PM beri peluang MCA rampas DUN Triang - Ka Siong - Utusan Malaysia

Aura PM beri peluang MCA rampas DUN Triang – Ka Siong

WEE Ka Siong (tiga dari kiri) bersama calon BN Parlimen Indera Mahkota, Datuk Quek Tai Siong (dua dari kiri) dan barisan pimpinan, penyokong MCA serta BN Indera Mahkota di Pejabat MCA Indera Mahkota di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Aura Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi peluang kepada MCA menang sekali gus menawan kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Triang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, aura yang ada pada Ismail Sabri yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera memberi kelebihan buat calon muka baharu, Ketua Pemuda MCA, Yee Cheng Hwa menawan hati pengundi di DUN Triang.

“Ini adalah percubaan kali pertama bagi MCA untuk bertanding kerana selama ini kerusi terbabit ditandingi parti Gerakan. Pada kali ini Gerakan tidak bersama kita dan kita menerima pelawaan Perdana Menteri (Ismail Sabri) untuk bertanding di kerusi itu (DUN Triang).

“Kalau dulu pun sudah disebut banyak kali yang mengatakan MCA akan bertanding, tetapi di bawah naungan Perdana Menteri organisasi lebih kuat di Bera dan berharap kita dapat mandat daripada pengundi di Triang,” katanya di Pejabat MCA Indera Mahkota di sini hari ini.

Cheng Hwa akan berentap dengan penyandang kerusi itu, Leong Yu Man dari Pakatan Harapan (PH) dan Muhammad Izzuddin Zulkifli mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU14 lalu, Yu Man menang dengan majoriti 6,454 undi apabila memperoleh 11,222 undi menewaskan Tan Tin Loon dari BN yang memperoleh 4,768 undi.

Dalam pada itu, Ka Siong menjelaskan, MCA tidak mahu terlalu yakin dalam meletakkan satu-satu sasaran disebabkan percaturan politik.

“Kita tidak boleh terlalu yakin, kerana waktu ini pelbagai perkara boleh berlaku, dalam politik satu hari adalah terlalu panjang. Kita tidak tahu apa dakyah pembangkang, apa yang mereka akan taburkan fitnah. Jadi disebabkan itu BN perlu sentiasa berwaspada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya