Apakah pengundi Tasek Gelugor rela jadikan Anwar PM? - Wan Saiful - Utusan Malaysia

Apakah pengundi Tasek Gelugor rela jadikan Anwar PM? – Wan Saiful

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta pengundi kawasan itu menilai kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan berkata akan menjadi Perdana Menteri pada 20 November ini sekiranya PH berjaya merampas kerusi Tasek Gelugor dan Kepala Batas.

Menurut Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pengundi Tasek Gelugor perlu bertanyakan diri sendiri sama ada mereka rela dipertanggungjawabkan sekiranya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP menguasai Putrajaya sekali lagi.

“Apa yang akan kita jawab jika kita disoal siapakah yang membuka ruang untuk dua parti berfahaman kiri ini mengubah hala tuju pentadbiran Malaysia?

“Sanggupkah warga Tasek Gelugor menjadi asbab kepada terpesongnya kerangka yang menjadi asas pembentukan Malaysia sejak sekian lama?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketika berucap pada Jelajah Mega Harapan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya, dekat sini malam tadi, Anwar yang juga Presiden PKR dilaporkan berkata, PH akan diangkat sebagai Kerajaan Pusat dan beliau akan mengangkat sumpah jawatan PM pada 20 November ini sekiranya berjaya menawan Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Menurut Anwar, di Pulau Pinang ketika ini, Permatang Pauh; Bukit Mertajam; Batu Kawan dan Nibong Tebal merupakan kubu kuat PKR sekali gus perlu dijaga dan dipastikan kekal milik PH.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, pengundi Tasek Gelugor perlu menolak calon PH daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang hanya merupakan proksi kepada Anwar dan DAP.

“Kita semua tahu rekod sebenar kerajaan DAP di Pulau Pinang dan hala tuju sebenar mereka.

“Warga Tasek Gelugor berhak mendapat wakil rakyat yang akan berkhidmat untuk Tasek Gelugor. Bukan proksi ‘pak turut’ yang hanya mahu berkhidmat untuk Anwar dan DAP sahaja.

“Warga Tasek Gelugor berhak mendapat kerajaan yang telus dan terbaik untuk negara kita. Bukan benarkan mereka yang menguasai Pulau Pinang hari ini merampas Putrajaya pula selepas ini,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Saiful berharap pengundi Tasek Gelugor akan mengekalkan PN di kerusi itu pada PRU-15 supaya dapat membawa dasar-dasar yang baik demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang prihatin, bersih dan stabil.

Pada PRU15 kali ini, Wan Saiful akan merebut kerusi Parlimen Tasek Gelugor dalam persaingan lima penjuru menentang Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan (PH-Amanah); Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor (BN-UMNO); Mohamad Akmal Azhar (Warisan) dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang).

Kerusi Parlimen Tasek Gelugor adalah antara kerusi tumpuan kerana pada PRU14, kerusi itu dimenangi calon BN, Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti hanya 81 undi selepas mendapat 18,547 undi menewaskan dua pencabarnya, Datuk Marzuki Yahya daripada PH (Bersatu) yang mendapat 18,466 undi dan calon Pas, Rizal Hafiz Ruslan (14,891 undi).

Bagaimanapun, Shabudin bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada Disember 2018 sebelum membuat keputusan untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi itu kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya