Anwar selar cadangan pengeluaran KWSP PN - Utusan Malaysia

Anwar selar cadangan pengeluaran KWSP PN

ANWAR Ibrahim (kiri) menghadiri Program Santai Bersama Anak Muda di sebuah kafe di Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Cadangan Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan penilaian semula pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar jika berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ditempelak Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata calon PH kerusi Parlimen Tambun itu, mana-mana parti yang dapat membentuk kerajaan khususnya menjadi Perdana Menteri selepas 19 November ini sepatutnya memberi tumpuan memulihkan ekonomi negara yang teruk terjejas ketika ini.

Beliau berkata, tawaran PN itu dilihat jelas cuba menekan rakyat yang ketika ini terhimpit akibat kemelesetan ekonomi hingga menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan.

Menurutnya, PN disifatkan ketandusan modal berkempen sehingga sanggup menekan rakyat dengan cadangan berkenaan.

“KWSP itu duit rakyat dan (wang) rakyat dah tinggal sikit dah. Dah tinggal RM10,000. Faham lah sikit, peranan Perdana Menteri dan kerajaan itu pulihkan ekonomi.

“Hentikan kontrak tanpa tender termasuk DNB (Digital Nasional Berhad) dan ini boleh selamatkan berbilion-bilion ringgit dan tidak perlu menekan rakyat, daripada segi wang mereka bawa keluar sampai tak ada dah,” katanya kepada pemberita selepas Program Santai Bersama Anak Muda di Bukit Beruang di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, PN akan meneliti pengeluaran KWSP secara bersasar sekiranya menang pada PRU15.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu menjadi pertimbangan meskipun ia tidak terdapat dalam tawaran PN pada pilihan raya umum kali ini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, beliau hanya bersetuju dengan cadangan pengeluaran KWSP kali pertama kerana mendapati rakyat begitu terkesan meneruskan kelangsungan hidup akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN