Akar umbi Bersatu Tangga Batu kekal bersama PN - Bakri - Utusan Malaysia

Akar umbi Bersatu Tangga Batu kekal bersama PN – Bakri

BAKRI Jamaluddin menemui orang ramai di sekitar Parlimen Tangga Batu, Melaka dalam siri kempennya pada PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kempen Perikatan Nasional (PN) tidak terkesan dengan tindakan sebahagian pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tangga Batu yang bertindak meletak jawatan dan keluar parti, Ahad lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon PN kerusi Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, Pas melihat peristiwa itu sebagai perkara biasa ketika musim pilihan raya dan enggan mengulas lanjut berkenaan masalah dalaman parti lain.

Jelasnya, majoriti akar umbi Bersatu masih teguh bersama Pas untuk bersama-sama membantu melancarkan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berbaki kira-kira dua hari lagi.

“Alhamdulillah perjalanan kempen berjalan dengan baik dan masyarakat menerima serta menyambut dengan baik. Saya pernah bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini, jadi masyarakat setempat sudah mengenali saya.

“Tidak mengapa, itu hal mereka (Bersatu). Kita tidak mahu komen masalah parti orang lain. Bersatu masih teguh bersama kami kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof pun dari Bersatu.

“Banyak jentera Bersatu bergabung bersama Pas duduk di pusat daerah mengundi (PDM) bersama-sama. Saya lihat tidak ada masalah,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Bersatu Bahagian Tangga Batu lumpuh apabila 17 daripada 20 kepemimpinan tertinggi termasuk ahli jawatankuasanya mengumumkan peletakan jawatan.

Keputusan itu dibuat untuk mengikut jejak langkah bekas Ketua Bahagian, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen yang turut meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Bersatu pada 30 Oktober lalu.

Tindakan tersebut dilihat sebagai protes terhadap peletakan calon Pas di kerusi berkenaan, yang mana Mohd. Rafiq mendakwa telah bekerja selama enam tahun di Parlimen itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya