Abdul Hakim mahu tebus semula Masjid Tanah

Abdul Hakim mahu tebus semula Masjid Tanah

ABDUL HAKIM Abdul Wahid bertemu pengundi ketika siri kempennya sekitar Parlimen Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PARLIMEN Masjid Tanah dikatakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), namun usaha untuk merampas kembali kerusi tersebut daripada Perikatan Nasional (PN) sedikit sukar selepas penyandangnya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilihat kompeten sebagai wakil rakyat di situ.

Calon BN yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, ABDUL HAKIM ABDUL WAHID diberikan tugas berat untuk mendapatkan kembali kerusi yang asalnya dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI, Abdul Hakim berkongsi pengamatannya mengenai potensi dan aspirasi BN untuk pengundi Masjid Tanah.

UTUSAN: Apakah respon pengundi Masjid Tanah terhadap BN sekarang?

ABDUL HAKIM: Masyarakat di sini memberikan respon yang positif setelah berkempen hampir dua minggu. Justeru, saya bersama jentera kempen telah cuba bertemu seramai mungkin untuk memperkenalkan diri agar pengundi dapat membuat pilihan pada 19 November ini.

Masjid Tanah dianggap kubu kuat BN sebelum bertukar tangan kepada PN kerana tindakan penyandangnya melompat parti. Adakah persaingan ini antara BN dan PN sahaja?

Semasa penamaan calon tempoh hari, tiga calon lain turut mengesahkan mereka bertanding di Masjid Tanah. Pertembungan ini melibatkan empat penjuru, maknanya ada empat persaingan. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Setakat ini proses berkempen berjalan dengan baik. Apabila BN datang ke kawasan terbuka, PN, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Gerakan Tanah Air (GTA) juga akan hadir. Saya lihat semua parti politik sedang bersaing secara sihat.

Pentingkah undi pengundi muda kepada BN?

Sudah pasti peranan pengundi 18 tahun dan yang didaftarkan secara automatik termasuk pengundi kali pertama sangat penting kerana mereka akan menentukan menang atau kalah. Namun, saya tidak melihat kelompok pengundi tertentu sebagai penentu kemenangan kerana lebih 69,000 pengundi di kerusi ini mempunyai peranan yang sama penting.

Mereka telah bergelar pengundi dan boleh membuat pilihan. Saya menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik pengundi seperti bersemuka dan media sosial. Saya fikir anak-anak muda yang tinggal atau duduk di luar Masjid Tanah akan balik mengundi dan saya mohon agar mereka memberi mandat kepada BN.

Bagaimana penerimaan masyarakat Cina?

Saya telah berjumpa dengan masyarakat Cina termasuk pemimpin MCA tempatan dan mereka memberikan respon yang sangat baik untuk bersama-sama memberi kepercayaan kepada BN. Inilah semangat BN sebenarnya yang menjadi tunjang untuk parti mencapai kejayaan dalam mana-mana pilihan raya.

Antara harapan mereka, mahu kita meraikan semua, maksudnya Melayu, Cina dan India diraikan dalam keadaan yang sama. Ini memang sudah menjadi kelaziman dalam BN tanpa mengira warna kulit, agama dan ideologi politik.

Apakah penekanan yang akan diberikan kepada Masjid Tanah sekiranya diberikan mandat kelak?

Daripada aspek ekonomi, tumpuan akan diberikan untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan terutamanya kepada orang muda. Selain itu, penekanan juga diberikan kepada pembinaan rumah mampu milik.

Soal kebersihan di sekitar Masjid Tanah turut dititik-beratkan. Kawasan ini merupakan pusat pelancongan yang terkenal dengan keindahan pantai-pantai seperti di Tanjung Bidara, Padang Kemunting dan Pengkalan Balak yang menarik ramai kehadiran pengunjung setiap minggu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya