TASEK GELUGOR: Kerusi Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan persaingan lima penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Tiga lagi calon yang disahkan bertanding di kerusi itu ialah calon Pakatan Harapan (PH) daripada Amanah, Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan serta calon Warisan, Mohamad Akmal Azhar dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang).
Bagaimanapun, kelibat bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang sebelum ini disebut-sebut turut berminat bertanding di kerusi itu tidak kelihatan sehingga proses penamaan calon ditutup pukul 10 pagi.
Pengesahan calon yang bertanding itu dibuat Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) P. 042 Tasek Gelugor, Supardi Amaludin.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi calon BN (UMNO), Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti 81 undi selepas mendapat 18,547 undi menewaskan dua pencabarnya, Datuk Marzuki Yahya daripada PH (Bersatu) yang mendapat 18,466 undi dan calon Pas, Rizal Hafiz Ruslan (14,891 undi).
Bagaimanapun, Shabudin bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada Disember 2018 sebelum membuat keputusan untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi itu kali ini dan memberi laluan kepada Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu.
Sementara itu Muhamad Yusoff berkata, beliau melihat BN mempunyai peluang cerah untuk merampas semula kerusi itu berikutan persaingan lima penjuru meskipun pada PRU14 kerusi itu yang pada mulanya ditandingi calon BN hanya dimenangi dengan majoriti 81 undi.
Menurut beliau, pengundi muda berusia antara 18 hingga 39 tahun yang merupakan kelompok pengundi terbesar dengan 51 peratus bakal menjadi penentu kepada kemenangan calon di kerusi tersebut.
“Sebab itu BN memberi lebih tumpuan dan mempergiatkan lagi kempen mendekati pengundi dalam kalangan anak muda ini kerana kita tahu mana-mana parti yang gagal mendekati kumpulan anak muda ini akan gagal dalam PRU15,” katanya.
Dalam pada itu tambahnya, beliau juga yakin mempunyai kelebihan berbanding calon-calon lain kerana merupakan calon anak tempatan yang sudah dikenali masyarakat setempat selain sudah lama berkhidmat di kawasan tersebut. – UTUSAN