Cukuplah dengan idea khemah besar-Mohd. Shafie - Utusan Malaysia

Cukuplah dengan idea khemah besar-Mohd. Shafie

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak setuju dengan idea pembentukan khemah besar seperti yang diinginkan oleh Tun Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, khemah besar bukan lagi penyelesaian terbaik pada masa ini kerana negara ini memerlukan satu kepimpinan mahupun pemerintahan yang boleh meletakkan negara pada landasan sepatutnya.

“Saya dah nyatakan, kita tak ada nak khemah besar sebagai penyelesaian. Berapa banyak khemah sana, sini dan berapa khemah sudah saya masuk…saya sudah masuk khemah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), cukuplah.

“Nak buat khemah lain lagi, rumah kita pun khemah sudah dicabut. Kita sukar penuhi selera semua pihak dan sebab itu saya pastikan Warisan diperkuat dan diperkukuhkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Warisan hari ini.

Mengenai kenyataan PH Sabah bahawa Warisan semakin menjauhkan diri, beliau berkata, mereka bebas memberi pandangan namun, beliau menyatakan tidak akan ada lagi PH Plus Warisan.

Namun, di pihak pembangkang jika ada isu berhubung dengan kepentingan negara dan Sabah mereka akan bersetuju.

Tetapi, pendirian Warisan cukup jelas bahawa mereka ingin perkuatkan ‘rumah’ terlebih dahulu sebelum sibuk melihat rumah orang lain.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sudah sampai masanya untuk belajar daripada pengalaman lepas dan perbaiki kesilapan lampau.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie melahirkan kekecewaan dengan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menolak permohonan Warisan menangguhkan pemilihan parti pada tahun ini.

Menurut beliau, surat makluman mengenai penolakan permohonan diterima pada 26 Mei lalu namun, tidak dimaklumkan alasan permohonan itu ditolak.

Mengulas lanjut katanya, beliau sedia untuk bersaing dengan siapa juga pencabarnya sekiranya ada pemimpin Warisan yang ingin bertanding jawatan Presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunan bagi pemilihan parti tri-tahunan Warisan pada Ogos ini.

“Kita mengalamkan sistem demokrasi jadi tidak menjadi masalah untuk sesiapa juga bertanding. Bagi pihak pimpinan, tiada sekatan atau halangan untuk mana-mana individu bertanding, kalau ada mahu lawan saya, tiada masalah,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN