IPOH: Tiada maklumat sahih berhubung dakwaan seorang lelaki yang dikatakan tokoh agama masuk ke sebuah kelab malam dalam satu rakaman video yang tular dalam media sosial.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, sehubungan itu, beliau yang juga Exco Agama negeri enggan mengulas perkara yang tidak sahih.
Saarani mengakui menonton rakaman video tersebut, namun, tidak dapat memastikan individu tersebut adalah tokoh agama yang dimaksudkan.
“Saya tak ada maklumat sahih tentang itu, tak ada. Saya pun sudah tengok video itu, tak nampak macam betul rupanya, jadi, saya tak berani nak komen, sebab tak ada satu pun maklumat sahih.
“Saya ada baca blog, saya tengok apa yang disampaikan oleh Zaharin Mohd. Yasin, tapi, saya tak boleh komen apa-apa sebab saya tak ada maklumat rasmi dan sah.
“Tak cantiklah kalau saya membuat komen benda yang saya tak ada maklumat yang sah dan rasmi.
“Saya tak mahulah pula menjadi pemanjang cerita-cerita yang tak pasti, belum saya tak dapat lagi (maklumat rasmi) melainkan di media sosial,” katanya ketika itemui pemberita selepas program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Saarani ditanya mengenai satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki yang didakwa sebagai tokoh agama berada di kelab malam sambil mengetuk drum angin.
Tokoh agama itu dikatakan merupakan salah seorang penasihat dalam Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam.
Video itu tular selepas dikongsi pengguna media sosial sejak 2 Mei lalu.
Video berdurasi 3 minit 24 saat itu menampilkan visual dari sudut tepi imej seorang lelaki yang tidak jelas wajahnya dengan memakai topi.
Lelaki itu kelihatan beraksi seperti sedang mengetuk dram dengan muzik latar yang bising. –UTUSAN ONLINE