KOTA KINABALU: Rakyat di negara ini perlu berani membuat perubahan bagi memastikan perubahan dalam struktur politik di Malaysia dapat dilakukan.
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, hanya rakyat yang boleh mengubah situasi politik yang tidak stabil pada masa ini.
Justeru, jika ingin melihat perubahan dalam politik negara, satu landasan baharu perlu diwujudkan agar semua bangsa boleh bergerak maju kehadapan.
Katanya, kuasa mengubah kepemimpinan negara terletak ditangan rakyat selaku pengundi pada pilihan raya.
Mengulas lanjut katanya, Barisan Nasional (BN) sudah menabur janji selama lebih 60 tahun tetapi sehingga kini Sabah masih berhadapan dengan masalah jalan berlumpur dan berlubang yang tidak diselenggara dengan baik.
“Tiada guna meletakkan slogan kata sekiranya keadaan rakyat di negeri ini tetap sama. Jambatan rosak masih tidak dapat dibaiki segera biarpun peruntukan membaikinya bukannya mahal sangat,” katanya semasa berucap sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Sepanggar semalam.
Ahli Parlimen Semporna itu mengingatkan kerajaan supaya tidak hanya menghidangkan slogan kepada rakyat tetapi kebaikannya tidak dinikmati secara menyeluruh.
“Dalam kita menikmati keselesaan dari segi makanan serta kehidupan semua perlu ingat bahawa ramai dalam kalangan rakyat khususnya Sabah menderita akibat harga barangan mahal, pengangguran, bencana banjir dan sebagainya.
“Walaupun Sabah kaya dengan sumber minyak tetapi kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan telekomunikasi masih mundur. Oleh itu, jangan hanya wujudkan slogan untuk didendangkan tetapi rakyatnya menderita setiap hari,” katanya.
Mohd. Shafie berkata, kini rakyat berhadapan dengan harga barangan yang mahal, jangan sampai harga makanan seperti daging ayam dikawal oleh orang tengah sehingga menyebabkan harga melambung tinggi –UTUSAN ONLINE