PKR akui pikat ahli Parlimen parti lain untuk tawan Putrajaya - Utusan Malaysia

PKR akui pikat ahli Parlimen parti lain untuk tawan Putrajaya

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: PKR akui membuat rundingan dengan beberapa Ahli Parlimen seterunya untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) kembali menerajui Putrajaya selepas kejatuhannya akibat ‘Langkah Sheraton’.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perkara itu diakuinya dengan jujur selepas terdapat Ahli Parlimen didakwa mengkhianati mandat rakyat sehingga menyebabkan PH yang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekadar berkuasa tidak sampai dua tahun.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu berkata, tindakan berunding dengan beberapa pemimpin dalam blok kerajaan dibuat kerana khuatir dengan sentimen rakyat kecewa dengan tindakan khianat tersebut menyebabkan PH sukar diterima dalam PRU-14.

“Kita baru menjadi kerajaan selama dua tahun, tempoh untuk menjadi kerajaan adalah lima tahun. Namun, sentimen ketika itu ialah PH buatlah sesuatu. Untuk kita mengungkap, tunggu tiga tahun lagi kita masuk pilihan raya, mood rakyat ketika itu sukar untuk menerima.

“Benar, kita mengusahakan untuk mendapat sejumlah sokongan, bukan satu kerja yang mudah, kita sudah usahakan untuk mendapat balik kuasa politik, saya akui secara jujur kerana mood dan sentimen ketika itu memang ke arah itu kerana kekurangan angka yang kecil,” katanya dalam debat calon Timbalan Presiden PKR bersama Rafizi Ramli anjuran Sinar Harian hari ini.

Saifuddin Nasution menambah, bagaimanapun pimpinan mengambil langkah mengukuhkan parti dan PH selepas usaha rundingan tersebut gagal.

Sementara itu, Rafizi dalam hujahan balas menjelaskan beliau tidak bersetuju dengan langkah rundingan diambil oleh parti seperti dinyatakan Saifuddin kerana menggalakkan tindakan lompat parti kali kedua oleh pihak seteru untuk membentuk kerajaan.

Menurutnya, sekiranya PH berjaya kembali menjadi kerajaan menerusi langkah tersebut, dikhuatiri berterusan goyah kerana tindakan lompat parti berterusan boleh dilakukan.

“Kalaupun kita berjaya mendapatkan mereka, besar kemungkinan, angka yang melompat itu tidak ramai, tujuh atau lapan orang dan itu akan menyebabkan kerajaan akan berterusan menjadi tidak stabil.

“Sebab itu dari awal, pandangan saya ialah jalan yang terbaik, ialah kita menggunakan emosi dan kemarahan rakyat yang memang betul cukup marah kepada tindakan mengkhianati mandat pada masa itu kemarahan rakyat tertumpu kepada Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan Bersatu,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya