KUALA TERENGGANU: Pas didakwa tidak melayan dan mengabaikan beberapa permohonan UMNO untuk meneruskan rundingan kerusi dalam Muafakat Nasional (MN).
Perkara berkenaan didedahkan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sekali gus berharap bekas partinya itu dapat mengakui dan memperbetulkan kesilapan berkenaan.
Katanya, MN masih mempunyai masa depan dengan syarat kedua-dua parti berpegang kepada keputusan bersama dan rasmi.
Sehubungan itu, katanya, mesyuarat induk MN perlu dihidupkan semula dan pasukan perunding kerusi perlu meneruskan semula tugasan mereka yang terhenti sekerat jalan.
“Tidak wajar diharapkan MN dibina kembali dengan mengenepikan kepemimpinan utama kedua-dua parti, ibarat hanya inginkan badan tanpa kepala.
“Inilah kesilapan dalam pengurusan MN sebelum ini. Ada pihak yang mahukan ‘badan’ sahaja tanpa ‘kepalanya’,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Menurut Mohd. Khairuddin, satu lagi syarat penting dalam perundingan itu ialah Pas dan UMNO tidak boleh campur tangan dalam urusan dalaman parti.
Katanya, terpulang kepada kedua-dua pihak untuk menguruskan parti masing-masing dan usah diulangi kesilapan tahun 1978 apabila ada parti mencampuri urusan pemilihan rakan kerjasama sehingga akhirnya terlerai ikatan tersebut.
“Sejarah pahit tidak wajar diulangi, buang yang keruh dan ambil yang jernih demi perpaduan umat Islam.
“Saya istiqamah dengan perjuangan untuk melihat kedua parti terus duduk bersama,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Khairuddin berkata, perpaduan MN tidak sepatutnya goyah dengan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kecil bilangannya. –UTUSAN ONLINE