Khabar KM Melaka mahu letak jawatan sengaja dihebohkan - Utusan Malaysia

Khabar KM Melaka mahu letak jawatan sengaja dihebohkan

Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Datuk Seri Ab. Rauf Yusof berkata, khabar angin kononnya Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Ali mahu meletak jawatan sengaja diperbesarkan pihak tertentu walaupun perkara sebenar berulang kali dijelaskan.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu, pihak-pihak yang masih menyebarkan `berita’ tersebut mungkin tidak `sabar’ mahu mengisi jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka disandang beliau.

Bagaimanapun, kata Ab. Rauf, hubungan beliau dengan Sulaiman terus baik demi menjaga politik dan kerajaan negeri.

“Isu menggantikan Ketua Menteri sengaja diperbesarkan pihak tertentu, meskipun saya telah berulang-kali menjelaskan perkara sebenar.

“Saya dah beri ulasan memang tiada siapa pun yang hendak jatuhkan Ketua Menteri. Saya pun tidak faham. Air yang tenang mengapa dikocakkan?

“Saya dan Ketua Menteri sehati sejiwa untuk menjaga politik dan kerajaan Melaka. Yang berkonspirasi bukan saya,” katanya ketika dihubungi.

Sulaiman dan Ab. Rauf ketika ini berada di Sarajevo, Bosnia dan Herzegovina bagi menghadiri Sarajevo Business Forum 2022 untuk melihat peluang-peluang pelaburan serta menarik pelaburan asing ke Melaka.

Semalam, Sulaiman menafikan dakwaan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri, sebaliknya menjelaskan ia hanya khabar angin yang ingin mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri.

Spekulasi peletakan jawatan itu mula kecoh Ahad lalu, apabila Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad memaklumkan, lima ketua bahagian di negeri ini sebulat suara mempertahankan Sulaiman terus kekal memegang jawatan tersebut sehingga habis penggal.

Ia kemudian disusuli dengan kenyataan beberapa lagi pemimpin Melaka antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Terbaharu, Utusan Online melaporkan, UMNO Bahagian Alor Gajah mencadangkan Sulaiman segera dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, menggantikan Ab. Rauf.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya