PASIR PUTEH: Jika suasana malam di Pantai Barat kembali meriah dengan jamuan moreh selepas solat tarawih, suasana malam di negeri ini juga tidak kurang meriah dengan aktiviti makan colek.
Turut tidak ketinggalan melakukan aktiviti itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan yang menganjurkan program makan colek di kediaman Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md. Nor di sini malam tadi.
Kata Kamarudin, selepas dua tahun ‘hilang’ akibat kekangan pergerakan, makan colek kembali popular untuk dilakukan beramai-ramai di Kelantan pada sebelah malam sepanjang Ramadan kali ini.
“Program ini kita buat supaya dapat beramah mesra dengan pengundi baharu dan lama, merapatkan ukhwah dengan parti sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) selain meraikan perantau Kelantan yang pulang beraya,” katanya.
Dalam program sama, Bersatu Kelantan turut menyampaikan sumbangan zakat kepada 80 asnaf dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pasir Puteh bagi meringankan bebanan mereka membuat persediaan hari raya. –UTUSAN ONLINE