Ambil kira peluang kerja dengan gaji tinggi ketika terima pelaburan - Chin Tong - Utusan Malaysia

Ambil kira peluang kerja dengan gaji tinggi ketika terima pelaburan – Chin Tong

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri perlu menggubal dasar kemasukan pelaburan asing dengan mengambil kira sumbangan pelaburan itu dalam menghasilkan pekerjaan berkualiti berserta gaji yang lebih baik kepada warga Malaysia.

Ketua Pembangkang Johor, Liew Chin Tong berkata, penambahbaikan itu penting bagi membolehkan taraf hidup rakyat negeri ini ditingkatkan kerana dasar sedia ada tidak banyak membantu ekonomi golongan pekerja.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak iaitu penggubal dasar, majikan dan juga pekerja perlu menerima hakikat bahawa suasana pekerjaan di negeri ini dan Malaysia amnya masih berada di takuk lama.

“Ramai warga Johor bekerja di Singapura kerana gaji di Johor dan banyak tempat lain di Malaysia terlalu rendah dan kini keadaannya lebih buruk dengan perbezaan ketara dalam pertukaran kadar mata wang asing.

“Saya menyeru kerajaan negeri untuk menjadikan usaha menyediakan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik sebagai agenda utama aktiviti ekonomi negeri.

“Perkara ini boleh dilaksanakan dengan menilai pelaburan asing yang masuk ke negeri ini dan apa sumbangan mereka dalam menghasilkan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik kepada warga Malaysia,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Chin Tong, pihaknya akui pelaburan dalam apa bentuk sekalipun adalah penting buat ekonomi negeri, namun, adalah lebih baik sekiranya dapat membawa masuk pelaburan yang berkualiti tinggi. 

“Peluang pekerjaan berkualiti ini memang tepat untuk rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, kerana ramai antara mereka sudah pun mendapat latihan kemahiran tinggi, atau ijazah pengajian tinggi.

“Di Johor, pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik bermakna upah sekurang-kurangnya perlu berada pada tahap dua pertiga daripada gaji yang diterima oleh pekerja Malaysia di Singapura.

“Ini bermakna jika seorang pekerja separuh mahir Malaysia di Singapura dibayar SGD$2,000 sebulan, beliau tentunya sanggup kembali ke tanah air jika majikan Malaysia membayar gaji bulanannya di antara RM3,000 dan RM4,000,” ujarnya.

Menurut Chin Tong, walaupun jumlah itu kurang sedikit daripada gaji diterima di Singapura, namun, pekerja Malaysia akan lebih selesa dan sejahtera apabila dapat bersama keluarga di rumah selepas kerja setiap hari.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri perlu mewujudkan satu road map atau peta panduan rancangan lima tahun untuk menyediakan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik. 

“Pembangkang yang saya pimpin bersedia untuk menyumbang idea bagi memastikan usaha ini mencapai kejayaan demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama rakyat dan negeri ini,” katanya yang juga Pengerusi DAP Johor. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya