Ahli Parlimen Bangi berehat daripada politik, tidak bertanding PRU-15  - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen Bangi berehat daripada politik, tidak bertanding PRU-15 

ONG KIAN MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Dr. Ong Kian Ming mengumumkan berehat sementara waktu daripada politik di barisan hadapan sekali gus mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menyatakan belum bersara daripada politik, namun, bersedia berkhidmat kepada parti itu dan negara jika khidmatnya masih diperlukan. 

Kata Kian Ming, beliau merancang berehat dan meluangkan masa dengan aktiviti bersenam, membaca dan merenung semula bagaimana beliau dapat memanfaatkan pengetahuan serta kemahiran sejak hampir satu dekad lalu dengan sebaiknya. 

“Ramai yang mungkin tertanya-tanya sebab saya tidak menawarkan diri sebagai calon dalam pilihan raya dan walaupun keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP baru-baru ini memainkan peranan dalam mengesahkan keputusan untuk berehat daripada politik barisan hadapan, ia bukanlah sebab utama untuk keputusan ini. 

“Ketika saya mula-mula ditawarkan menjadi calon bagi kerusi Parlimen Serdang, persetujuan saya dengan isteri adalah berkhidmat selama dua penggal dan menilai semula keadaannya. 

“Menjelang hujung penggal kedua, saya percaya telah memberikan usaha sebaik mungkin di peringkat kawasan, parti dan negara dan tiba masanya untuk generasi muda mengambil alih tampuk kepimpinan,” katanya. 

Pada Mac lalu, Kian Ming yang merupakan bekas Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP gagal mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan CEC dengan undi 535, sekaligus menyaksikan jauh ketinggalan di belakang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Jannie Lasimbang apabila menduduki tempat ke-30 dengan 877 undi. 

Bersama-sama tuah yang tidak menyebelahi Kian Ming, ahli Parlimen Damansara merangkap bekas Ketua Publisiti Kebangsaan, Tony Pua dan Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin, turut gagal mempertahankan sebarang jawatan dalam CEC. 

Kian Ming baru-baru ini dilantik sebagai jurucakap Perdagangan Antarabangsa dan Industri parti. 

Beliau dan Tony sebelum ini mendapat kritikan hebat selepas mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) mempertimbang tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama, dalam apa yang dilihat sebagai usaha terakhir untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin ketika itu menawarkan memberikan peruntukan Parlimen yang sama kepada semua ahli Parlimen pembangkang dan melantik ketua pembangkang setaraf sebagai menteri kanan Kabinet sebagai pertukaran untuk sokongan mereka

Kewajaran untuk Tony dan Kian Ming bercadang sedemikian di sebalik tindakan pembangkang yang mahu menjatuhkan Perikatan Nasional (PN) sehingga menyebabkan Muhyiddin berundur, kerana bimbang jika berlaku, akan menyebabkan UMNO kembali berkuasa selepas ditumbangkan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Bagaimanapun, cadangan mereka tidak seperti yang diharap apabila rata-rata pemimpin pembangkang menolak untuk mempertimbang tawaran Muhyiddin. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya