Tidak perlu gopoh gubal RUU Anti Lompat Parti - Abdul Hadi - Utusan Malaysia

Tidak perlu gopoh gubal RUU Anti Lompat Parti – Abdul Hadi

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pas menyifatkan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak perlu dilakukan secara tergopoh-gapah susulan penangguhan pembentangan buat kali kedua yang sepatutnya dilakukan Isnin ini.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penelitian dan perincian menyeluruh perlu dilakukan sebelum akta itu dibentangkan serta dibahaskan.

Bagaimanapun, katanya, Pas berpengalaman berdepan peristiwa lompat parti semasa menerajui pemerintahan kerajaan negeri Kelantan pada 1959.

“Pas tangani masalah ini sudah lama, sebab itu kita sebut dalam bai’ah, mana-mana wakil rakyat yang lompat parti wajib meletakkan jawatan kalau tidak akan dilaknat oleh Allah.

“Memang undang-undang (lompat parti) ini memerlukan penelitian dan Pas juga tidak gopoh dalam isu ini,” katanya ketika ditanya pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Kabinet tidak mendapat kata sepakat, malah, tidak bersetuju dengan pembentangan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Penangguhan itu adalah yang kedua selepas pertama kali dijadualkan untuk dibentangkan bagi bacaan pertama pada 24 Mac lalu sebelum dianjak ke 11 April ini.

Bagaimanapun, semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan akan mencadangkan tarikh baru untuk satu lagi sidang khas Parlimen bagi membentangkan RUU itu.

Sementara itu, Abdul Hadi menolak dakwaan sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melengah-lengahkan pembentangan RUU Anti Lompat Parti, sebaliknya perbincangan sentiasa dilakukan secara bersama dengan komponen Perikatan Nasional (PN) dan UMNO.

Tak timbul isu berlengah-lengah kerana Bersatu akan berbincang dengan kita dan rakan dalam PN termasuk Sarawak dan Sabah serta sebahagian UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, isu melompat parti itu memerlukan tafsiran kerana perjuangan sebagai pemimpin adalah untuk menyelamatkan rakyat dan bukan demi kepentingan peribadi.

“Kita kena sedar bahawa lompat parti ini ada sebab-sebabnya, kalau parti itu tidak betul tak kan nak ikut parti itu lagi,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya