PETALING JAYA: Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan tiada alasan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dilambat-lambatkan.
Sebaliknya, beliau menganggap pembentangan akta ini perlu disegerakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), mengambil kira kepada kepentingan kestabilan politik negara ketika ini.
“Akta ini perlu dibahas dan diluluskan dengan kadar segera terutamanya sebelum menjelang PRU-15, sebagai jaminan terhadap kelancaran demokrasi negara serta mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.
“Kita percaya pada peringkat awal penggubalan Akta Anti Lompat Parti ini berkemungkinan mempunyai kelompongan, namun ia tidak patut dijadikan alasan untuk tidak menyegerakan pembentangan dan perbahasan mengenai akta ini.
“Penambahbaikan boleh dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengesahkan penangguhan pembentangan RUU Anti Lompat Parti buat kali kedua.
Katanya, Kabinet bukan sahaja tidak mendapat kata sepakat, malah, tidak bersetuju dengan pembentangan RUU tersebut. –UTUSAN ONLINE