KOTA BHARU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan, Datuk Seri Mohd. Supardi Md. Noor terus diberi mandat untuk mengepalai PKR Cabang Tanah Merah.
Mohd. Supardi berkata, beliau diberikan mandat penuh sebagai Ketua Cabang PKR Tanah Merah selepas tidak dicabar sesiapa bagi jawatan tersebut dalam pemilihan kali ini.
“Alhamdulillah, tiada pemilihan di Cabang Tanah Merah, secara total, ahli memberi mandat kepada saf kepemimpinan di semua sayap sebelum ini untuk terus menerajui cabang ini.
“Secara tidak langsung, ia membolehkan kita memperkemaskan lagi jentera untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Supardi memberitahu, beliau dan seluruh barisan kepemimpinan di peringkat cabang menzahirkan terima kasih kepada akar umbi yang sekali lagi memberi mandat tersebut kepada mereka.
“Saya juga memutuskan untuk tidak bertanding di peringkat tertinggi bagi memberikan tumpuan kepada Cabang Tanah Merah dan PKR Kelantan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Supardi berkata, lima cabang yang tiada pertandingan dalam pemilihan kali ini ialah Tanah Merah, Kuala Krai, Tumpat, Jeli dan Rantau Panjang. –UTUSAN ONLINE