PETALING JAYA: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak sepatutnya mengheret DAP untuk membenarkan pemikirannya yang disifatkan sempit apabila asas-asas dan nilai yang dibawakan DAP berbeza daripada parti lain termasuk Bersatu.
Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, partinya sentiasa menjadi parti berbilang bangsa yang berpegang pada nilai-nilai keadilan sosial, kebebasan dan perpaduan ekonomi untuk semua orang tanpa mengira kaum dan agama.
Justeru, Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata, tidak wajar untuk Ahmad Fayhsal terus memainkan sentimen perkauman yang memecahbelahkan dan memfokuskan sudut pandang yang lapuk serta perlindungan kaum yang dibimbangi memecahbelahkan rakyat di negara ini.
“Ironinya, walaupun beliau mendakwa tidak bersetuju dengan politik identiti yang memecahbelahkan, tetapi, beliau masih memilih mempermainkannya dan menggalakkan perpecahan daripada mengambil langkah berani mencari jalan membentuk budaya politik yang lebih matang dan positif untuk membawa semua orang bersama dan membina Malaysia yang lebih baik.
“Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh beliau sebagai Timbalan Menteri Perpaduan, dan sebagai pemimpin belia, beliau sepatutnya mempromosikan politik baharu dan konstruktif daripada memperkukuh dan mengukuhkan politik lama perpecahan kaum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab perkongsian Ahmad Fayhsal menerusi pautan video di Facebooknya semalam bahawa mentaliti pelindung kaum bukan hanya dimiliki orang Melayu, malah orang Cina juga begitu.
“Ini bukan hanya unik kepada orang Melayu. Kenapa pengundi Cina masih berpegang kepada DAP? Kerana mereka juga lihat DAP sebagai pelindung kepentingan Cina.
“Kenapa kita mengundi berasaskan kaum? Kerana kita kita yakin parti-parti politik ini bukan saja mewakili kepentingan negara, tetapi juga kepentingan kaum,” katanya memetik video tersebut.
Dalam pada itu, Lee Wuen berkata, daripada Ahmad Fayhsal cuba menjadi ‘juara etno’ kaum-kaum tertentu, DAP lebih tertumpu kepada isu memastikan pekerjaan yang lebih baik untuk seluruh rakyat negara ini, mewujudkan jaringan keselamatan yang teguh, menyediakan perkhidmatan sosial berkualiti tinggi dari aspek penjagaan kesihatan dan pendidikan.
“Hakikatnya, ketika Ahmad Fayhsal secara cuai cuba meletakkan Perikatan Nasional (PN) sebagai pelindung masyarakat Melayu, beliau menyembunyikan fakta bahawa mereka gagal melindungi masyarakat daripada kos sara hidup yang melambung tinggi dan kehilangan pekerjaan.
“Sebab itu mungkin yang kita perlukan perlindungan adalah daripada orang seperti beliau yang mempunyai pemikiran dan pandangan bertentangan dengan apa yang diperlukan negara untuk maju ke hadapan,” katanya. –UTUSAN ONLINE