PUTRAJAYA: “Jangan cuba meraih simpati kepada umum bahawa dirinya teraniaya dan menimbulkan konspirasi kononnya ada usaha ingin menjatuhkannya di peringkat bahagian.”
Itu nasihat Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya kepada bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Mohd Hisamudin berkata, beliau mahu Tun Faisal bertenang dan berdoa supaya selamat dari sebarang tindakan kerana masalah yang wujud sekarang adalah antaranya dengan Lembaga Disiplin parti.
“Adalah kurang bijak apabila mengaitkan bahagian semata-mata kerana kuasa menggantung hanya ada pada Lembaga Disiplin.
“Nasihat saya, tidak perlulah bertindak seolah-olah hendak menjadi mangsa keadaan dan saya amat kasihan dengan sahabat saya ini yang semakin keliru dan celaru dengan masalah yang sedang dihadapi,” katanya menerusi kenyatan hari ini.
Katanya, beliau juga mahu Tun Faisal mendedahkan siapakah saksi dalam mesyuarat UMNO Bahagian baru-baru ini yang mahu memecatnya.
Mohd Hisamudin berkata, jika tidak dikongsi nama saksi itu, bagaimana hendak buktikan kenyataan Tun Faisal ini betul atau tidak atau sekadar khabar angin sahaja.
“Tun Faisal sebenarnya mahu menggunakan media dan laporan yang disiarkan bagi mempertahankan dirinya kepada Lembaga Disiplin UMNO dan menunjukkan kepada umum dirinya teraniaya dan wujud konspirasi hendak menjatuhkannya di peringkat bahagian.
“Tun Faisal perlu berhenti daripada mempergunakan media untuk kepentingan diri sendiri,” katanya. –UTUSAN ONLINE