KOTA BHARU: Pentadbiran Islam tidak ‘berkurangan’, malah, boleh bertambah baik berbanding sekarang jika UMNO diberi peluang mengambil alih pentadbiran Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketika memberi jaminan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, rakyat boleh ‘menghukum’ parti itu dengan menarik semula sokongan jika Islam tidak bertambah baik.
“Walaupun saya Pengerusi Perhubungan bukan (golongan) ulama, tetapi, kita ada penasihat ulama. Kalau kita ulama pun, tetapi, tidak melaksanakan Islam dengan cara tertib dan betul, tak boleh juga.
“Islam ini tidak dilihat hanya kerana negeri ini tidak ada nombor ekor, tidak ada arak, tetapi, banyak lagi aspek lain (dalam Islam). Golongan miskin misalnya, mesti dibawa keluar dari garis kemiskinan, ini juga Islamik.
“Dengan kata lain, soal Islam di Kelantan ini, saya boleh beri jaminan, kalau UMNO BN memerintah, kita akan lebih Islamik berbanding Pas,” katanya pada Majlis Makan Colek Bersama Pengamal Media Kelantan, di sini malam tadi.
Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, selepas 32 tahun Pas memerintah Kelantan, masih banyak ruang yang boleh ditambah baik bagi memperkasakan lagi pentadbiran Islam di negeri ini.
“Selama ini, kita bangga Kota Bharu kononnya bandar Islam, apa yang Islamiknya? Kalau nak kata tak ada nombor ekor, arak tak boleh jual, kerajaan Kelantan dipimpin UMNO BN akan teruskan juga.
“Bahkan, kita akan tambah baik lagi dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang supaya maksiat tidak berleluasa,” katanya. –UTUSAN ONLINE