Darurat: Mahkamah batalkan rayuan Khairudin - Utusan Malaysia

Darurat: Mahkamah batalkan rayuan Khairudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Penyelaras Parlimen Jasin Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini gagal untuk mengembalikan saman pemulanya berhubung nasihat yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan Proklamasi Darurat.

Ia selepas panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Nordin Hassan membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan notis rayuan.

Muhyiddin yang dinamakan menggunakan nama sebenarnya Mahiaddin dan kerajaan yang dinamakan sebagai responden memfailkan permohonan tersebut atas alasan notis rayuan itu tidak diserahkan kepada responden-responden dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan oleh mahkamah terdahulu.

“Pada 24 Ogos 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan responden (Muhyiddin dan Kerajaan) untuk membatalkan saman pemula tersebut. Notis rayuan telah difailkan pada 21 September 2021 dan diserahkan kepada responden pada 11 Oktober 2021.

“Berdasarkan Peraturan 6 yang dibaca bersama Peraturan 12 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, notis rayuan hendaklah diserahkan kepada responden sebelum 23 September 2021. Terdapat kelewatan sebanyak 17 hari.

“Kami berpendapat sekiranya notis rayuan gagal diserahkan kepada responden dalam tempoh masa yang ditetapkan ini bermakna rayuan tidak dibawa ke Mahkamah ini dalam tempoh yang dibenarkan sekaligus menjadikannya tidak kompeten untuk didengar dan wajar untuk dibatalkan,” kata Hakim Hanipah ketika membaca penghakiman ringkasnya.

Tambahnya, Khairuddin selaku perayu juga tidak pernah memfailkan permohonan lanjutan masa bagi penyerahan notis rayuan itu menjadikan tiada sebarang asas untuk Mahkamah Rayuan hari ini menggunakan budi bicaranya bagi membenarkan  penyerahan di luar tempoh masa yang ditetapkan.

Panel terbabit turut memerintahkan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu untuk membayar kos sebanyak RM5,000 kepada responden.

Pada 24 Ogos 2021, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin membenarkan permohonan kerajaan dan Muhyiddin untuk membatalkan saman pemula bekas penyelaras Khairuddin yang mencabar tindakan Muhyiddin menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung Proklamasi Darurat bagi mengekang penularan COVID-19.

Khairuddin memfailkan saman pemula itu pada 18 Januari 2021 antara lain memohon mahkamah memutuskan empat persoalan undang-undang dan keperlembagaan berhubung proklamasi darurat berkenaan.

Bagaimanapun pada 23 Jun 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk merujuk empat persoalan undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 12 Januari 2021, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Muhyiddin, pada hari sama, menjelaskan bahawa Jemaah Menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan proklamasi darurat itu bagi seluruh negara mengikut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.

Perkara 150 (1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan terancam. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya