MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap akan menjalinkan kerjasama dengan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tidak salah untuk semua parti bersikap terbuka duduk berbincang demi masa depan rakyat.
“Kita (Bersatu) adalah satu kumpulan yang memikirkan tanggungjawab untuk kepentingan rakyat, jadi untuk kepentingan rakyat biarlah kita mempunyai sikap terbuka. Maknanya kita boleh duduk berbincang semata-mata untuk menentukan masa depan rakyat.
“Kita bukan sahaja nak membincangkan soal PRU-15, tetapi berbincang untuk menentukan bagaimana hendak menentukan masa depan negara yang baik, cara mana? Strategi bagaimana?
“Semua itu harus difikirkan bersama, kalau mereka benar-benar mahu berkecimpung dalam politik biarlah semuanya mempunyai fikiran yang terbuka,” katanya dalam sidang akhbar ketika hadir ke majlis berbuka puasa di Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong, di sini hari ini.
Yang turut hadir Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen.
Ditanya mengenai pendekatan khemah besar, Hamzah berkata, ia adalah cadangan dan permintaan DAP.
Tegasnya, sehingga kini Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) belum membuat sebarang pendirian mengenai perkara tersebut.
“Semua mempunyai pandangan yang berbeza-beza tetapi apa yang paling penting adalah matlamat kita berpolitik, demi untuk menentukan masa depan negara dan rakyat.
“Cara bagaimana, siapa orangnya, perkara tersebut harus difikirkan bersama,” ujarnya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pendekatan khemah besar belum dibincangkan dengan rakan komponen dalam PN.
Menurutnya, parti itu belum membuat sebarang pendirian berkaitan perkara tersebut bagi menghadapi PRU-15. –UTUSAN ONLINE