PONTIAN: “Jika terpilih, saya bertekad akan melakukan empat perubahan demi kesejahteraan rakyat.” Itu kata calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Datuk Jefridin Atan.
Jefridin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, berkata, beliau mahu memenuhi kehendak rakyat yang diimpikan selama ini.
“Antaranya, mewujudkan perumahan baharu mampu milik untuk orang muda dan golongan belia berkeluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana.
“BN juga mahu mewujudkan dan menstruktur semula ekonomi serta industri supaya seiring dengan industri besar seperti di Tanjung Bin dan petrokimia,” katanya.
Selain itu katanya, ia juga akan membangunkan lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan gerai untuk mereka berniaga.
Beliau berkata, usaha empat perubahan berkenaan seiring dengan pembinaan jambatan baharu yang menghubungkan dari pangkalan Sungai Pulai ke pekan Gelang Patah.
“Jambatan sejauh 7.5 kilometer bakal siap Oktober tahun depan, sekali gus menjimatkan masa kepada semua pengguna ke Johor Bahru.
“Selain itu, ia dapat menarik ramai pelancong dan pada masa sama meningkatkan pendapatan penduduk memasarkan produk PKS dan sebagainya,” katanya.
Pada PRN Johor, Jefridin ditentang calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). – UTUSAN