KUALA LUMPUR: UMNO mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diadakan segera tanpa berdolak-dalih dan berkias-kias.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bayangan Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berlangsung semalam adalah kali terakhir sebelum semboyan pilihan raya digerakkkan.
Tegasnya, tarikh pilihan raya akan dibincangkan di peringkat Top 5 UMNO sebelum dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan Seri Paduka.
“Kestabilan adalah asas kepada segala-galanya. Tanpa kestabilan atau rapuh, apa yang terancang akan ke longkang, segala diatur akan tersungkur, segala yang disyor akan berkubur. Tanpa kestabilan, PM yang terbaikpun akan menghadapi kecelaruan,” katanya dalam ucapan penggulungan Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menolak dakwaan berlaku perpecahan di antara ‘top 5’ kepimpinan UMNO, sambil mengesahkan terdapat pertemuan di antara mereka sebulan sekali bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan.
“Saya ingin mengesahkan bahawa ‘top 5’ sering bertemu sekurang-kurangnya sebulan sekali, presiden timbalan presiden dan tiga naib presiden bertemu. Rakan-rakan ramai yang tahu tapi kadang-kadang tak perlu diketahui sebab banyak perkara-perkara yang kita buat keputusan kerana setelah selidiki.
“Saya berkongsi maklumat dengan rakan-rakan dalam politik ataupun jawatankuasa. Dan kita juga ada pasukan ‘task force’, yang memikirkan isu-isu yang dibangkit. Yakinlah. Selagi ‘top 5’ bersatu hati sentiasa mengadakan perbincangan insya-Allah. Kelima-lima kami akan menjaga parti dan memberikan keutamaan pada akar umbi,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan sebanyak 70 peratus muka baharu yang akan dicalonkan dalam PRU15 nanti.
“Begitu juga mereka yang berumur bawah 50 tahun, jangan risau. Ketua Bahagian kalau termasuk dalam konsep ‘wali’, Insya-Allah.
“Pemuda, Wanita dan Puteri jangan khuatir, ketiga-tiga sayap ini akan diberikan tempat,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid turut menjelaskan UMNO akan menjayakan Projek 1,2,3 iaitu kembali menjadi kerajaan dan mahu menjadi kerajaan di dua peringkat, iaitu negeri dan persekutuan dan memperkenalkan sekolah politik.
“Sekolah politik ini mesti menjadi tarikan baharu yang berupaya menangkap imaginasi dan kreativiti generasi zaman sekarang. Ia harus menjadi platform yang terbuka untuk membincangkan aspirasi kepada tanah air. Ia mesti dipacu oleh teknologi,” jelas beliau. –UTUSAN ONLINE