ALOR SETAR: Seluruh warga UMNO seharusnya memandangl serius mengenai usaha untuk menerajui reformasi dan pembaharuan di negara ini, bersandarkan lima teras utama yang menjadi ‘daya’ parti itu seperti dilaungkan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, langkah tersebut penting untuk digagaskan bersama ‘Agenda Bersama Untuk Masa Depan Bersama’ seperti dilaungkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi mengembalikan keyakinan majoriti rakyat kepada UMNO.
“Sebagai arkitek yang menerajui pembangunan negara sejak zaman-berzaman, UMNO harus terus menaungi anak bangsa serta rakyat jelata supaya mampu menjadi tempat buat mereka bergantung harap.
“Caranya adalah dengan menyediakan tawaran dasar yang lebih sesuai untuk menjamin masa depan negara lebih baik.
“Justeru, warga UMNO seharusnya mengambil serius tentang soal menerajui reformasi dan pembaharuan menerusi tawaran lima teras utama yang menjadi ‘daya’ UMNO seperti dinyatakan Presiden parti semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Lima teras utama yang menjadi ‘daya’ UMNO seperti dinyatakan Ahmad Zahid mempunyai kaitan dengan pemulihan ekonomi, peluang pekerjaan, keusahawanan wibawa, pendidikan dan reform agenda rakyat.
Syed Johan menambah, pihaknya yakin betapa UMNO sudah bersedia untuk membawa perubahan menerusi lima teras utama yang bakal ditawarkan kepada rakyat itu.
“Aspirasi rakyat Malaysia yang dahagakan kestabilan masa depan lebih terjamin, menjadi katalis terbaik buat UMNO untuk terus unggul di persada politik negara.
“UMNO tidak lagi wajar menoleh ke belakang, kita perlu mara melangkah demi agama, bangsa dan negara,” katanya. –UTUSAN ONLINE