KOTA KINABALU: Menyedari hakikat sukar untuk berjuang bersendirian, Parti Warisan Sabah (Warisan) menyatakan kesediaan bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Warisan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti mahupun gabungan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kita terbuka dan akan meneliti perkara ini secara mendalam. Kita sedia melihat (kerjasama) mana-mana pihak, tidak semestinya GRS, tidak semestinya UMNO.
“Apa yang penting, kita tidak amalkan dasar tutup pintu kerana kita tidak boleh menolak semua pihak.
“Namun, tiada ertinya Warisan membentuk kerjasama dengan mana-mana pihak sekiranya ia hanya akan melemahkan dan mematikan Warisan. Kita tidak mahu disebabkan kerjasama yang dibentuk dengan parti mahupun gabungan lain, ia melemahkan kita (Warisan),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan Warisan bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk GRS dan BN-UMNO menjelang PRU15.
Bagaimanapun, katanya, Warisan akan memberi keutamaan untuk memperkukuhkan parti terlebih dahulu kerana mereka tidak mahu kerjasama yang dibentuk hanya akan melemahkan parti berkenaan.
Maka, usaha memperkuatkan dan memperkukuhkan kedudukan parti di kawasan yang mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Warisan perlu diberi perhatian, termasuklah kawasan yang ingin diambil alih semula selepas wakil rakyatnya melompat parti.
“Bukan mudah untuk Warisan berjuang bersendirian, jadi, kerjasama seperti yang dilakukan di Sarawak iaitu semua parti saling bekerjasama dengan kerajaan yang memerintah di peringkat Pusat merupakan pendekatan terbaik,” katanya.
Menurut Mohd. Shafie, Warisan kini memberi fokus mempersiapkan diri untuk berhadapan PRU15 kerana pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, berdasarkan kenyataan pimpinan UMNO bahawa pemilihan parti hanya akan diadakan selepas PRU dan itu menunjukkan PRU15 boleh diadakan pada bila-bila masa sebelum Disember, boleh jadi September.
“Kita tidak pasti bila, namun, kita tidak boleh menunggu sehingga butang ditekan. Itu sebabnya kita kena bersedia daripada sekarang,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, tiada keperluan melakukan penstrukturan semula dalam kepimpinan Warisan kerana perlembagaan parti cukup jelas membolehkan parti itu boleh bertanding di Semenanjung.
Tambahnya, apa yang penting adalah penggunaan logo Warisan pada PRU15 kerana sudah sampai masanya untuk rakyat di negara ini disatukan dan itu adalah perkara pokok yang harus dilakukan. –UTUSAN ONLINE