Sahrihan terkejut rampas kerusi Muhyiddin - Utusan Malaysia

Sahrihan terkejut rampas kerusi Muhyiddin

SAHRIHAN JANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir mengejutkan ramai pihak berikutan kemenangan Barisan Nasional (BN) menewaskan kubu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sahrihan Jani ketika dihubungi mengakui turut terkejut dengan kemenangan itu apabila mampu menewaskan tiga lagi calon masing-masing daripada PN, PKR dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Katanya, berdepan dengan lawan yang agak kuat selain kawasan Ahli Parlimen Pagoh itu masih mempunyai penyokong tegar mengundang sedikit gentar berikutan ini adalah kali pertama beliau dicalonkan.

“Saya tak jangka banyaklah, memang ada rasa kebarangkalian untuk menang kerana ketika ini rakyat membuat peralihan kepada BN. Rakyat sekarang melihat BN sebagai sebuah parti yang mampu membawa kestabilan.

“Jadi, kita dah nampak aura kemenangan itu walaupun ini dikatakan kubu kuat Tan Sri (Muhyiddin), cuma, saya tidaklah meletakkan harapan tinggi ataupun kalau dikatakan menang mungkin selisih tak jauh beza,” katanya, di sini hari ini.

Menurut Sahrihan, sebagai anak jati Gambir, beliau menganggap ia juga sebahagian faktor kemenangannya berikutan hubungan baik bersama penduduk yang tidak asing dengan mereka.

“Ibu bapa saya memang berasal dari sini dan kami adik beradik juga dibesarkan di kampung ini. Malah, saya pun bekerja di Bandar Muar dan penduduk sekitar dah biasa dengan kewujudan saya.

“Saya kira itu juga menyebabkan saya mudah mendekati orang kampung yang mana mereka memang saya dah kenali sejak dahulu,” katanya.

Sahrihan yang juga seorang peguam berjanji melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sebaik mungkin termasuk menjaga kebajikan penduduk dan meningkatkan fasiliti di Gambir.

“Apa yang saya lihat perlu diberi perhatian adalah membaik pulih infrastruktur contohnya tempat-tempat riadah. Malah, klinik di Gambir juga perlu ditambah baik atau dibesarkan.

“Selain itu, liputan rangkaian telefon dan internet juga agak lemah di beberapa kawasan yang mana saya kira ini antara kemajuan yang saya nak bawa. Bagi soal kebajikan penduduk pula termasuk program Bakul Makanan akan diteruskan seperti biasa tanpa mengira parti,” katanya.

Pada PRN Johor semalam, DUN Gambir berjaya dimenangi BN dengan keputusan 7,960 undi menewaskan calon daripada PN, Mohd. Solihan Badri (4,814); Naim Jusri-PKR (4,508) dan Pejuang, Suraya Sulaiman (220). –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya