SEREMBAN: Enam buah negeri dijangka tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara tersebut ada dibincangkannya bersama lima buah negeri lain ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja di ibu negara baru-baru ini.
Tanpa menyebutkan lima buah negeri lain itu, Aminuddin berkata, kesemua negeri terlibat telah menyatakan hanya akan membubarkan DUN selepas penggal tamat pada tahun hadapan.
“Saya ada berbincang dengan beberapa negeri, enam negeri termasuk Negeri Sembilan semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja tempoh hari. Enam negeri mengatakan mungkin mereka akan sehingga ke akhir tempoh penggal, saya tidak boleh maklumkan negeri-negeri yang mana,” katanya.
Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sistem MyCare semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada enam negeri itu termasuk Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH), Aminuddin mengatakan ada kemungkinannya.
“Yang minta (PRU-15 segera) hanya Barisan Nasional (BN), yang lain tidak minta, dan dalam BN itupun ada yang minta dan ada yang tidak. Untuk makluman, saya tidak bubarkan sehingga tamat tempoh penggal,” kata beliau.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor diperintah oleh kerajaan PH manakala Pas membentuk kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah. –UTUSAN ONLINE