PRN JOHOR: Papar wajah calon di Proton X70 - Utusan Malaysia

PRN JOHOR: Papar wajah calon di Proton X70

M. Kandapan (kiri) menunjukkan kereta Proton X70 miliknya dengan hiasan pemimpin dan calon BN daripada MIC di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Penyokong tegar Barisan Nasional (BN), M. Kandapan, 62, menzahirkan sokongan kepada parti itu dengan menghiaskan kereta jenis Proton X70 miliknya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Kandapan berkata, tindakannya menghias kenderaan sejak hari penamaan calon pada 26 Februari lalu adalah untuk menghangatkan kempen pilihan raya diadakan.

Ahli perniagaan itu berkata, sebagai penyokong setia BN, inisiatifnya menghias kereta jenis Proton X70 juga diharap membantu merancakkan kempen BN.

“Ke mana-mana saya pergi di sekitar bandar raya ini berjaya mencuri perhatian orang ramai yang tertarik dengan hiasan yang memaparkan imej kepimpinan tertinggi MIC dan calon parti yang bertanding. 

“Ini adalah inisiatif untuk menghangatkan kempen pilihan raya selain menunjukkan penghargaan dan kesetiaan kepada BN,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Wajah Presiden MIC, Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri M. Saravanan terpapar pada kereta milik Kandapan.

Turut kelihatan ialah empat calon parti itu iaitu R. Vidyananthan yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, N. Saraswathi (Kemelah), S. Suppayah (Bukit Batu) dan K. Raven Kumar (Tenggaroh). 

Menurut Kandapan, beliau percaya tidak ada parti yang mampu mentadbir negeri atau negara ini setanding BN yang terbukti sebelum ini.

Tambahnya, wakil rakyat BN yang berjiwa rakyat dan tidak pernah mengenal penat menyantuni masyarakat khususnya golongan kurang bernasib baik menjadi parti itu lebih disenangi.

“Saya tinggal di Bandar Seri Alam ini menerima limpah nikmat daripada kerajaan BN, pelbagai pembangunan dilaksanakan di sini hingga ia membantu masyarakat tempatan menaik taraf kehidupan.

“Tanpa kepimpinan yang cekap seperti yang ada pada BN, kita mungkin tidak dapat mengecapi apa yang kita nikmati pada hari ini.

“Saya berasa amat bersyukur kerana menjadi warganegara Malaysia dan anak Johor, hanya BN sahaja parti yang saya akan sokong sampai bila-bila,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya