Pembangkang kalah PRU15 jika tiada kerjasama - Hassan - Utusan Malaysia

Pembangkang kalah PRU15 jika tiada kerjasama – Hassan

HASSAN Abdul Karim (depan, dua kanan) merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Tunggal Mawarnis di Taman Scientex, Pasir Gudang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Blok pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu ketepikan ego masing-masing dan menjalin kerjasama strategik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerjasama itu adalah  satu-satunya jalan berkesan untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya tersebut.

Menurut beliau, jika tiada gabungan parti pembangkang, mereka akan terus tewas seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

“PH dan PN kena kena buang ego masing-masing, saya sendiri secara peribadi marah dengan kawan-kawan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dianggap telah mengkhianati PH, tetapi perkara itu sudah berlalu.

“Maknanya sekarang kita kena ada perubahan. Kita tidak boleh lagi beri laluan mudah kepada BN atas segala perkara yang telah mereka lakukan, pembangkang perlu bersama-sama menghadapi mereka,” kata beliau selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Tunggal Mawarnis di Taman Scientex, di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad menjangkakan perlu diwujud pakatan antara parti-parti politik bagi menentang BN dalam PRU-15.

Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, perpecahan antara pembangkang hanya akan memberikan kelebihan dan manfaat kepada BN untuk terus mentadbir negara dan negeri.

Kerjasama strategik

Sementara itu, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, sekiranya wujud kerjasama strategik antara pembangkang, PH boleh memainkan peranan sebagai parti induk.

“Walaupun kerjasama strategik ini melibatkan kepentingan bersama, tetapi PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan juga Parti Amanah Negara boleh bertindak selaku parti induk kepada gabungan pembangkang.

“Selain kerjasama dengan PN dan Muda, kita juga tidak seharusnya menolak perbincangan dengan parti pembangkang lain seperti Pejuang dan Parti Warisan, namun buat waktu ini perbincangan perlu dibuat antara PH, PN dan juga Muda terlebih dahulu.

“Semua pihak perlu berlapang dada dan berjiwa besar untuk memastikan kerjasama strategik ini berjaya dalam matlamat menewaskan BN, jadi jangan tutup sebarang pintu rundingan,” ujarnya.

Tambah beliau, setiap pemimpin politik tidak seharusnya dibelenggu dengan sejarah lalu ataupun sifat prejudis kerana perkara itu hanya akan menjadi penghalang kepada matlamat yang lebih utama iaitu untuk menubuhkan kerajaan dengan mandat rakyat.

Sementara itu, Hassan turut menggesa PH untuk bermuhasabah atas kekalahan dalam PRN Johor dan jangan bertindak menyalahkan rakyat khususnya pengundi dalam situasi berkenaan.

“Kita perlu akui, dalam PRN Johor, PH menjadi pilihan ketiga rakyat manakala PN merupakan pilihan kedua selepas BN. Hal ini berlaku walaupun PH meletakkan calon-calon yang berkaliber dan juga telah berkhidmat untuk rakyat di peringkat negeri mahupun kawasan masing-masing,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya