KUALA LUMPUR: UMNO mesti memberi sokongan kuat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di dalam memperkasakan Bahasa Melayu.
Pembahas negeri Perak, Datuk Azhar Ahmad berkata, saranan bagi memperkasakan Bahasa Melayu itu mesti disambut oleh UMNO tanpa sedikit pun rasa gentar.
“Agensi-agensi kerajaan mesti melaksanakan. Kementerian-kementerian, mahkamah-mahkamah mesti mempercepatkan proses memperkasakan Bahasa Melayu ini. Kalau kita tidak sambut bagaimana orang lain nak peduli.
“Bahasa Melayu bahasa ilmu, bahasa perantara. Kalau dulu pedagang-pedagang luar dari seantero dunia nak masuk negara ini mesti fasih bahasa Melayu,” katanya dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdek Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini. – UTUSAN