SIMPANG RENGGAM: Keputusan PKR mempertaruhkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang dibuat agar perubahan baharu berlaku di Johor.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Maszlee merupakan satu-satunya Ahli Parlimen PKR yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang perlu diberikan peranan di peringkat DUN.
“Saya fikir beliau perlu diberikan peranan di Layang-Layang untuk bantu masyarakat dan rakyat Johor. Itu keputusan kita ambil agar perubahan berlaku,” katanya ketika berucap dalam ceramah umum di Bilik Gerakan PKR Dewan Undangan Negeri Layang-Layang semalam.
Walau bagaimanapun, ucapan itu seolah-olah membayangkan Maszlee menjadi calon Menteri Besar sekiranya PKR dan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan pada 12 Mac ini.
Bagaimanapun, Maszlee menafikan cakap-cakap politik kononnya beliau merupakan calon Menteri Besar jika PKR dan PH diberi mandat pada PRN Johor.
“Jauh sangat bayangan itu. Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) tidak menyentuh mengenai Menteri Besar.
“Beliau hanya meminta undi saya dan memberi sokongan kepada PKR dan PH untuk membawa Johor ke tahap lebih baik,” katanya ditemui semalam.
DUN Layang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Maszlee daripada PKR dengan Abd. Mutalib Abd. Rahim (BN), K. Alagathiran (Perikatan Nasional) dan Ahmad Shafiq Othaman (Parti Pejuang Tanah Air).-UTUSAN ONLINE