PASIR MAS: Kerajaan tidak perlu tunduk terhadap ugutan DAP yang mahu menamatkan memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya rang undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak diluluskan di Dewan Rakyat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, masih banyak perkara perlu diteliti berhubung RUU tersebut seperti aspek perlembagaan negara, takrifan sebenar lompat parti dan persetujuan semua parti politik.
“Lim Guan Eng membuat kenyataan untuk menamatkan MoU antara kerajaan dan PH jika RUU Anti Lompat Parti tidak diluluskan. Kenyataan ini seolah-seolah memberi gambaran tiada persefahaman antara kerajaan dan pembangkang.
“Saya ingin tegaskan, MoU dimeterai berdasarkan komitmen dan keikhlasan kerajaan dengan pembangkang, jadi, jika DAP cuba buat ugutan, kerajaan tidak akan tunduk,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 150 mangsa banjir di Kampung Serongga, di sini hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan mengingatkan bahawa MoU antara kerajaan dengan pembangkang yang dimeterai akan terbatal jika Akta Anti Lompat Parti tidak diluluskan.
Ini disebabkan RUU tersebut sepatutnya diluluskan bulan ini sebagaimana dipersetujui dalam MoU yang dimeterai.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU tersebut berkata, MoU dimeterai berlandaskan komitmen dan keikhlasan kedua-dua belah pihak untuk memastikan negara dalam keadaan stabil ketika berdepan Covid-19.
Berhubung RUU Anti Lompat Parti pula, kata beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar sudah membuat rundingan awal dengan beberapa parti politik.
“Ada parti meminta supaya diberikan sedikit masa untuk melakukan perbincangan dengan ahlinya berkait dengan RUU tersebut.
“Jadi, bagi saya, tidak timbul soal lulus atau tidak. Selain itu, terdapat beberapa perkara lain seperti cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti yang belum dilaksanakan,” katanya. –UTUSAN ONLINE