PUTRAJAYA: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan bukan cerminan kehendak rakyat negeri itu secara total.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi berkata, keputusan PRN tersebut tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukuran kejayaan parti berkenaan.
Ini kerana katanya, berdasarkan bilangan peratus yang turun mengundi hanyalah sekitar 53 peratus.
“Ini juga disebabkan beberapa faktor termasuklah ramai pengundi yang tidak balik ke Johor dan faktor kesihatan jangkitan Covid-19 serta beberapa faktor lain termasuklah PRN ini tidak perlu diadakan.
“Berdasarkan kepada gerak kerja Bersatu Bahagian Ampang menyantuni para pengundi, sebilangan besar adalah penyokong tegar ‘Abah’ (Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, kegagalan Perikatan Nasional (PN) juga dipercayai akibat kegagalan untuk menurunkan pengundi dan pimpinan Pas tidak menekankan kepada ahli-ahlinya wajib menyokong PN.
Katanya, Bersatu mendapati sebahagian besar masih ada sentimen bersama Muafakat Nasional (MN) di mana konsep wala’ tidak berlaku apabila bersama PN.
“Parti dan rakyat masih lagi memerlukan kepemimpinan dalam membawa perubahan budaya politik bersih dan berintegriti.
“Bagi Bersatu Bahagian Ampang, tiada ungkapan pengunduran Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN,” katanya sambil menyokong kepimpinan Muhyiddin untuk terus memimpin PN dan meneruskan agenda rakyat sebagai persediaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). –UTUSAN ONLINE