Gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei ini - Utusan Malaysia

Gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei ini

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan tersebut adalah bagi mengambil kira kos sara hidup kini yang kian meningkat, sekali gus menekan golongan B40 khususnya.

“Saya mendengar perbahasan yang dibawa oleh para perwakilan dan keluhan rakyat di luar sana.

Justeru, hari ini saya ingin mengumumkan di dalam dewan keramat ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara,” katanya ketika menggulung pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Tambahnya, kajian impak telah dilaksanakan secara mendalam termasuk kesannya kepada pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Berikutan itu, jelas beliau lagi pelaksanaan gaji minimum ini hanya melibatkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima orang pekerja ke atas.

Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri turut memaklumkan hampir sembilan juta penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) menerima manfaat dengan implikasi kewangan berjumlah RM8.2 bilion pada hujung bulan ini.

“BKM telah ditambah baik daripada bantuan tunai langsung sebelum ini. Nilai bantuan ditambah mengikut klasifikasi bilangan anak bagi isi rumah yang tidak mempunyai anak, mempunyai seorang hingga dua orang anak dan isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih serta memperkenalkan kadar tambahan bagi kategori isi rumah terhad kepada ibu atau bapa tunggal (IBT) dan warga emas,” ujarnya.

Mengulas tentang pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 pada April ini, Ismail Sabri dalam masa yang sama turut berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Presiden parti sebelum pengumuman calon PRN Johor.

“Saya pilih untuk mengumumkannya pada waktu dan ketika yang sesuai, kerana sepanjang musim PRN Johor ramai pihak melakukan pusingan U. janganlah cuba menangguk di air keruh atau lembu punya susu, sapi yang nak dapat nama.

“KWSP adalah perjuangan UMNO, setelah selesai PRN Johor, Alhamdulillah, UMNO menang besar, sebelum merayakan Perhimpunan Agung UMNO inilah masa yang tepat untuk saya umumkan Pengeluaran Khas KWSP,” ujarnya lagi.

Dalam hal ini jelasnya lagi, sebanyak 4.4 juta atau 54 peratus pencarum KWSP Bumiputera kini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, sementara sebanyak 2.6 juta atau 25 peratus lagi mempunyai kurang daripada RM1,000 atau hampir kosong.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya