KUALA LUMPUR: Sejak UMNO menerajui semula kerajaan, ekonomi Malaysia menunjukkan pemulihan dengan jumlah eksport dan kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang direkodkan terus meningkat sepanjang tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada suku keempat tahun lalu ekonomi negara berkembang sebanyak 3.6 peratus berbanding menguncup 4.5 peratus pada suku ketiga pada tahun sama.
Menurut beliau, jumlah eksport negara turut meningkat sebanyak RM28.2 bilion pada Ogos hingga Disember 2021 dan pengukuhan ekonomi terus melonjak apabila disokong dengan aliran FDI sebanyak RM24.7 bilion pada suku keempat berbanding RM12.8 bilion bagi suku ketiga pada tahun sama.
“Perkembangan FDI itu sekali gus menjadi bukti bahawa kerajaan pimpinan UMNO mendapat keyakinan pelabur luar negara.
“Sejak saya mengambil alih jawatan Perdana Menteri, saya juga menggerakkan seluruh jentera kerajaan untuk menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi,” kata Perdana Menteri ketika berucap dalam penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.
Selain itu, Naib Presiden UMNO itu turut mengumumkan mengadakan pelaburan baharu sebanyak RM32 bilion bagi membangunkan Automotive High-Technology Valley (AHTV) Di Proton City, Tanjung Malim, Perak.
Ismail Sabri berkata, pelaburan daripada DRB-Hicom itu bakal mewujudkan 370,000 peluang pekerjaan sepanjang fasa pembangunan serta 161,000 sepanjang fasa operasi.
“Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula mengagihkan dividen sebanyak 6.1 peratus manakala Lembaga Tabung Angkatan Tentera, 4.1 peratus. Kedua-dua dividen ini adalah yang tertinggi sejak tahun 2018,” katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan yakin dengan pengumuman fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini akan lebih merancakkan lagi ekonomi negara sekali gus membantu rakyat dalam memperoleh pendapatan seperti sediakala. –UTUSAN ONLINE