LUMUT: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin menunjukkan rakyat mahukan parti politik yang boleh membawa kestabilan dan kemakmuran khususnya dalam ekonomi berbanding parti politik yang terus memainkan isu serangan peribadi individu tertentu.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ia dibuktikan daripada maklum balas pengundi sepanjang tempoh berkempen termasuk daripada kalangan golongan muda yang mahu melihat parti politik yang boleh membawa alternatif-alternatif yang baik, proses-proses pembaikan termasuk dasar dan inisiatif kebajikan serta keperluan rakyat yang hendak diperkenalkan.
“Apabila kita berbual dengan anak muda dan golongan dewasa, mereka mahu tengok apa yang kita hendak buat, bagaimana kita mahu menyelesaikan masalah pekerjaan, ekonomi, perumahan, masalah asas yang rakyat hadapi.
“Ini yang rakyat hendak dengar dan demikian juga politik nilai baharu yang hendak ditekankan oleh rakyat, menentang penyalahgunaan kuasa dan sebagainya, ini sepatutnya digunakan setiap daripada kita untuk membina naratif politik yang baik.
“Pihak penentang BN pula menggunakan isu-isu lama secara habis-habisan dan kita boleh mendengar maklum balas daripada rakyat sepanjang tempoh berkempen, rakyat bertanya tidak ada cerita lain kah, umpamanya, cukuplah itu, isu dan kes (mahkamah) sudah berjalan.
“Tetapi, penentang BN memainkan terus isu ini, tujuan dimainkan terus itu untuk apa dan rakyat begitu memahami, rakyat tidak boleh diperbodohkan kerana dalam PRN negeri, tumpuan sepatutnya diberikan bagaimana untuk membina negeri Johor yang lebih baik daripada sekarang,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program #MYAirportCARES Pek Ceria Kembali Ke Sekolah anjuran Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Seri Manjung, hari ini.
Zambry yang juga Pengerusi MAHB juga menyifatkan pihak pembangkang yang menyatakan kemenangan BN pada PRN Johor tidak boleh dibanggakan kerana tidak memperoleh undi popular sebagai mereka yang kecewa dan bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila mereka berkata demikian.
Menurut beliau, ada pihak pembangkang yang mengatakan mengatakan peratusan rendah iaitu 54 peratus orang yang keluar mengundi sebagai tidak elok kepada demokrasi tetapi perkara sama juga berlaku ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson sebelum ini yang menyaksikan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 58 peratus.
Jelas beliau, isu undi popular untuk keseluruhan tidak relevan dalam sistem politik di negara ini yang mewarisi sistem British iaitu ‘first past the post’ iaitu berdasarkan undi terbanyak diperolehi oleh seseorang calon dalam kawasan yang ditandinginya.
“Adakah bermakna bila tidak dapat undi popular, BN tidak boleh bentuk kerajaan? Tidak, sebab sistem politik kita itu yang perlu difahami, melainkan kita membuat sistem secara kaedah pemilihan presiden, yang mana kita perlukan undi popular (untuk menang bertanding).
“(Undi popular) adalah perkara yang berkaitan interpretasi politik, bagaimana mahu diterjemahkan, angka boleh ditafsirkan dalam pelbagai cara, jadi, ia bergantung apa yang mahu ditafsirkan untuk memenuhi kepentingan masing-masing,” jelas beliau.
Mengenai petisyen pilihan raya, Zambry menyatakan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran ada berbincang dan memaklumkan kepadanya mengenai hasrat parti itu untuk menilai semula keputusan pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu dalam PRN Johor berikutan calonnya tewas dengan majoriti 137 undi berbanding undi rosak lebih 600 undi.
Zambry tidak menolak ada kewajaran yang akan dikemukakan kepada pihak perundangan dan beliau akan berbincang lanjut dengan Vigneswaran untuk melihat apakah langkah susulan yang akan dilakukan.
Ditanya jika ada petisyen pilihan raya untuk DUN lain, beliau menyatakan setakat ini belum ada maklum balas daripada parti komponen lain yang bertanding. –UTUSAN ONLINE