KUALA LUMPUR: Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan diperkasa sebagai langkah memartabatkan Bahasa Melayu, sekaligus menjadikan ia sebagai bahasa ilmu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi langkah tersebut DBP akan diberi kuasa penguatkuasaan termasuk penggunaan Bahasa Melayu di papan tanda.
Selain itu katanya, pelajar asing yang menuntut di dalam negara juga wajib mengambil subjek Bahasa Melayu dengan harapan ia dapat dijadikan bahasa kedua ASEAN.
“UMNO juga mesti menjuarai dalam memartabatkan bahasa Melayu seperti di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 yang juga termaktub dalam Perlembagaan UMNO fasal 3.5. Sudah tiba masanya kita perlu bangga dengan Bahasa Melayu.
“Justeru tidak ada sebab untuk kita rasa janggal berbahasa melayu walaupun di pentas antarabangsa kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’,” katanya dalam ucapan Penggulungan Naib Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di sini hari ini.
Tambah Ismail Sabri, beliau juga akan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama beliau termasuk ketika mengadakan sesi lawatan ke luar negara.
“Esok saya akan ke Vietnam. Bahasa Melayu akan menjadi bahasa utama saya. Lebih 300 juta guna Bahasa Melayu yang merupakan bahasa ketujuh di dunia dari segi jumlah penutur.
“Kita menggunakan bahasa ketujuh dalam dunia tapi masih lagi malu dan janggal berbahasa Melayu. Cita-cita saya adalah untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean,” katanya.-UTUSAN ONLINE