KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) mengulangi pendirian untuk bekerjasama dengan parti-parti Semenanjung demi memperjuangkan kepentingan negeri dan rakyat Sabah.
Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman berkata, ketika ini, usaha mengembalikan hak-hak Sabah sedang giat dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan langkah itu selaras dengan janji yang dibuat kepada rakyat Sabah.
Beliau berkata, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO bahawa usaha mengembalikan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) begitu meyakinkan.
“PCS dan semua rakyat Sabah amat menantikan pelaksanaan MA63 ini dilakukan. Saya percaya janji yang dibuat oleh Presiden UMNO itu menunjukkan keikhlasannya dalam melaksanakan MA63 dan saya yakin janji itu tidak akan dilupakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anifah, yang juga bekas Menteri Luar itu berkata demikian bagi mengulas ucapan Presiden UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO.
Sebelum ini, Ahmad Zahid memberi jaminan hak Sabah di bawah MA63 akan dikembalikan.
“Jangan kita lupa rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak. Kita beri jaminan Perjanjian Malaysia harus dilaksanakan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ini adalah janji kita kepada rakan-rakan di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan jurang antara kita,” kata Ahmad Zahid.
Mengulas lanjut katanya, beliau percaya Ahmad Zahid tidak akan memungkiri janjinya.
Mengenai isu anti lompat parti yang dibangkitkan Presiden UMNO itu, Anifah berkata, PCS kekal dengan pendirian bahawa mana-mana wakil rakyat yang melompat parti perlu mengosongkan kerusinya secara automatik. Malah, keahlian dan jawatan mereka dalam parti perlu dilucutkan. –UTUSAN ONLINE