Alumni 4B Malaysia pecat ahli jika tinggalkan UMNO - Utusan Malaysia

Alumni 4B Malaysia pecat ahli jika tinggalkan UMNO

SULAIMAN Md. Ali menandantangani borang keahlian Alumni 4B Malaysia sambil diperhatikan Hasan Abd. Rahman pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Tertinggi Alumni 4B Malaysia dan Persidangan Tahunan Alumni 4B Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pertubuhan Alumni 4B Malaysia akan mengambil tindakan disiplin termasuk memecat keahlian, jika ada di antara ahli yang melompat parti meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Naib Presidennya, Datuk Hasan Abd. Rahman berkata, tindakan itu wajar diambil memandangkan pertubuhan itu ditubuhkan dengan keahliannya adalah dalam kalangan ahli, pemimpin dan bekas wakil rakyat daripada UMNO.

Sehubungan itu, menurutnya, satu jawatan kuasa disiplin akan diwujudkan dengan tujuan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli yang ingkar serta melanggar ikrar.

“Kita tidak dapat sorok bahawa Alumni 4B ialah UMNO dan BN, begitu juga UMNO dan BN itu adalah Alumni 4B sejak penubuhannya hasil cetusan idea Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam (Yang Dipertua Negeri Melaka), yang dulunya Presiden Gerakan Belia 4B.

“Ini adalah kenderaan kita untuk memastikan rakyat yang menjadi ahli kita akan tetap terus menyokong dan bersama UMNO dan BN.

“Mereka yang menyongsang arus dan melompat daripada UMNO dan tidak ikut kita, mereka ini akan diambil tindakan disipilin yang akan dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) esok (hari ini),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Tertinggi Alumni 4B Malaysia dan Persidangan Tahunan Alumni 4B Melaka yang telah dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali malam tadi.

Pada majlis tersebut juga, Sulaiman turut menjadi ahli Alumni 4B apabila menandatangani borang keahlian.

Hasan yang juga Pengerusi Alumni 4B Melaka berkata, pertubuhan itu berdiri teguh di belakang UMNO khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

“Ahli perlu menyokong bahawa hanya UMNO dan BN sahaja dapat membawa kemakmuran dan mewujudkan kestabilan politik negara ini,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya