MERSING: UMNO Bahagian Mersing tetap yakin pengundi masih setia untuk terus memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus membawa kemenangan di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut.
Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd. Youzaimi Yusof berkata, baginya, isu 30 ahli UMNO beralih arah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu lagi diulas lanjut.
Katanya, hal ini kerana pengundi dan masyarakat di dua cawangan berkenaan lebih tahu dan arif serta boleh menilai sendiri tentang apa yang berlaku.
“Berkenaan keluar parti itu saya tidak perlu komen. Masyarakat lebih tahu, pengundi sekitar dua buah kampung itu juga lebih arif, biar mereka sendiri menilai. Kita teruskan bekerja kerana yang penting jentera di 44 pusat daerah mengundi (PDM) dalam 60 cawangan berjalan lancar serta kekal bersemangat dan tiada yang gusar dan takut.
“Alhamdulillah, kita berterima kasih kepada pucuk pimpinan pusat dan negeri yang banyak membantu kita serta negeri angkat dari Pahang yang akan membantu di DUN Endau dan DUN Tenggaroh,” katanya ketika ditemui selepas Program Sarapan Percuma di Kampung Penyabong, hari ini.
Dalam program itu, Mohd. Youzaimi turut menyerahkan sumbangan barang keperluan harian dan wang tunai serta melakukan ziarah kasih ke rumah penduduk yang memerlukan.
Terdahulu, media melaporkan seramai 30 ahli UMNO dari cawangan Kampung Baru Air Tawar dan Kampung Triang mengisytiharkan keluar parti sebelum menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd. Harun.
Mengulas lanjut, Mohd. Youzaimi berkata, jentera UMNO dan BN di kawasan itu sentiasa bekerja keras dan turun padang untuk mendekati masyarakat yang bukan hanya dilakukan ketika tiba musim pilihan raya sahaja.
Katanya, program yang dianjurkan juga bukanlah bermusim, bahkan telah digerakkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu lagi walaupun tidak pernah tahu sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan atau tidak sebelum ini.
“Walaupun kita ditinggalkan wakil rakyat yang menang PRU dengan masuk parti lain, namun, selepas itu, kita rasa bertambah kuat walaupun kedua-dua mereka (ADUN Endau dan Ahli Parlimen Mersing) tidak ada.
“Kita yakin pengundi masih setia bersama UMNO dan BN di Mersing. Pengundi muda dan lama boleh menilai yang mana intan permata dan kaca,” katanya. –UTUSAN ONLINE