PETALING JAYA: Senario politik Malaysia ketika ini semakin menarik untuk ditonton kerana melibatkan pertembungan yang merangkumi pelbagai aspek.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sebelum ini, kebanyakan parti yang ditubuhkan berdasarkan etnik atau agama.
Selain itu katanya, tempat ramai orang Melayu juga ada parti yang tersendiri dan tempat ramai pengundi Cina pula ada partinya juga.
“Sekarang nampak macam berasaskan generasi pulak. Bila ramai pengundi muda maka mula ada parti untuk orang muda. Bila ramai pemimpin tua, maka ada parti untuk orang tua.
“Apakah lepas ni ada yang terfikir, kalau ramai pengundi wanita maka ada parti untuk wanita. Pasti ada yang respon mahukan parti untuk lelaki pula.
“Politikkan seni pelbagai kemungkinan,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.
Hantaran Ahmad Shabery itu berkemungkinan merujuk kepada senario isu semasa politik negara termasuk dengan kemunculan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan kebenaran Undi-18 di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. –UTUSAN ONLINE