Muda tidak terima 'katak politik' - Utusan Malaysia

Muda tidak terima ‘katak politik’

Presiden MUDA Syed Sadiq Syed Abdul Rahman berucap pada Majlis Mengumumkan Calon MUDA bagi DUN Puteri Wangsa di Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertegas akan menolak kemasukan ‘katak politik’ khususnya melibatkan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mahu melompat dan menyertai parti berkenaan ketika sedang berkhidmat.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pendirian itu adalah selaras dengan cadangan diusulkan parti berkenaan iaitu Akta Lompat Parti yang beliau berharap dapat diluluskan segera.

Menurutnya, amalan yang kerap berlaku melibatkan parti-parti utama seperti UMNO itu telah menyebabkan banyak kerajaan negeri jatuh.

“Ketua Penerangan UMNO yang cakap macam itu, saya nak ingatkan kepada UMNO ya, yang dalam UMNO, mereka telah pun menjatuhkan beberapa kerajaan negeri melalui politik katak yang tidak ada pengakhirannya.

“Muda daripada awal telah mencadangkan Akta Lompat Parti diusulkan dan diluluskan secepat mungkin, supaya politik katak ini dapat diperangi.

“Pada masa yang sama Muda telah menerima keahlian daripada pelbagai latar belakang, daripada kepimpinan juga ada bekas pemimpin Pas, UMNO malah ada kawan baik Ketua Penerangan UMNO itu sendiri dan ada kawan-kawan daripada parti yang lain juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan calon pertama Muda iaitu Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd. Aziz yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.

Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan mempersoal tindakan Muda yang menjanjikan politik bersih dan menolak politik katak dalam parti itu namun melantik Nurainiee Haziqah Shafii sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat Muda.

Nurainiee Haziqah sebelum ini adalah calon Exco Wanita PKR Pusat 2018 dan Ahli jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2021.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Muar itu memberitahu, 92 peratus ahli Muda adalah individu yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.

“Sekarang ini fokus kita adalah menggembeleng tenaga rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama, latar politik pun berbeza, muda dan tua untuk mengangkat politik khidmat, politik dasar dan politik nilai. Itu keutamaan kami,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN