KUALA LUMPUR : Ahli parlimen diingatkan untuk tidak membawa ‘politik Johor’ untuk dibahaskan di Dewan Rakyat, sebaliknya terus memberi fokus kepada isu berkaitan rakyat seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, peranan ini perlu dimainkan oleh ahli parlimen Backbenchers khususnya bagi menjaga keutuhan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Backbenchers perlu menyokong kerajaan bagi memastikan kerajaan tidak terganggu dari perkara yang tidak penting, politik remeh-temeh, kepentingan politik yang sempit dari parti politik, ini mesti dibuang jauh-jauh. Kita tidak mahu buang masa dan tenaga. Kalau banyak masa terbuang, bercakaran, berantakan, apa faedahnya?
“Dan sebagaimana Backbenchers sekarang mempunyai pelbagai parti politik yang berbeza. Sekarang ini, PRN Johor sedang berlangsung. Kini, nak supaya jangan dibawa politik Johor ini di dalam dewan (Dewan Rakyat). Kita perlu bercakap tentang kepentingan rakyat keseluruhan nya, Johor tinggal di Johor itu padang yang berlainan,” katanya.
Jelas Tajuddin, Ahli Parlimen hendaklah memberi tumpuan dalam usaha membela nasib rakyat yang terjejas, antaranya melibatkan aspek ekonomi dan keselamatan.
“Antara lain, fokus juga harus diberikan kepada kebangkitan semula ekonomi negara, masalah peluang pekerjaan, perumahan, semuanya boleh disimpulkan sebagai isu berkaitan dengan kepentingan rakyat, membela rakyat. Itulah maksud Tuanku,” tegasnya lagi.
Mengulas lanjut, Tajuddin yang juga Ahli parlimen Pasir Salak turut berkata, meskipun ahli parlimen Backbenchers terdiri daripada pelbagai parti politik, namun, Tajuddin mengingatkan supaya tidak ada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang kurang menyenangkan hati dalam kalangan kerajaan.
“Perdana Menteri telah berpesan dengan ahli parlimen, bebas kepada mana-mana menteri dan ahli parlimen berlainan parti untuk berkempen, tapi oleh kerana kita berada dalam kerajaan pusat, kerjasama perlu ada dan elakkan ucapan dan kata-kata boleh menyakitkan hati satu sama lain. Kerana setelah kita berkempen di negeri Johor, kita akan duduk bersama kembali.
“Maksudnya, semua pihak boleh berkempen untuk ketengahkan parti masing-masing, tetapi, jangan ekstrim, jangan menghina melibatkan perkara berkaitan peribadi. Jadi, garis panduan yang diberi Perdana Menteri, saya kira sangat baik,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah mengingatkan ahli politik di negara ini perlu fokus kepada usaha menjaga kepentingan rakyat.
Menyelitkan ingatan itu dalam dua rangkap pantun pada akhir titah Seri Paduka semasa merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 hari ini, Al-Sultan Abdullah bertitah, kerja yang susah akan menjadi senang jika semua bersatu hati.-UTUSAN ONLINE