SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berpendapat, tindakan ketenteraan yang diambil oleh Rusia ke atas Ukraine wajar dikecam apabila konflik berkenaan menyebabkan banyak nyawa orang awam terkorban.
Malah, pertubuhan itu melihat konflik antara negara tidak sewajarnya terus kepada peperangan, sebaiknya pelbagai rundingan perlu diteruskan supaya konflik dapat diselesaikan tanpa melibatkan pertumpahan darah.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan berkata, peperangan dan keganasan tidak boleh menjadi pilihan dan pertumpahan darah yang tidak wajar mesti dikecam.
“Perang Ukraine-Rusia amat membimbangkan masyarakat dunia. Kepentingan yang saling berkaitan antara negara akan mendatangkan bahaya kepada keamanan dunia kerana konflik antara kuasa dunia dengan mudah boleh menjadi perang dunia.
“Orang awam akan menanggung korban paling berat dalam mana-mana konflik ketenteraan. Kemusnahan infrastruktur awam dan kesan ke atas mata pencarian akan memberi kesan yang besar kepada orang ramai apabila konflik yang berlarutan tidak diselesaikan,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, beberapa pelajar serta warga asing termasuk rakyat Malaysia yang berada di sana masing-masing memutuskan untuk keluar dari Ukraine.
Malah, warga Malaysia dijangka tiba di tanah air hari ini selepas berada di Poland semalam sebaik sahaja berjaya keluar dari negara berkonflik berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menambah, tindakan ketenteraan dan provokasi daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta Amerika Syarikat (AS) terhadap Rusia adalah dikesali kerana menjadi faktor kepada kebuntuan dalam penyelesaian konflik.
“NATO ditubuhkan untuk menentang Rusia. Sikapnya untuk mencabar Rusia sentiasa mewujudkan permusuhan yang memaksa Rusia bertindak secara proaktif.
“Ugutan yang berterusan telah mencetuskan provokasi kepada Rusia untuk tidak bertolak ansur dengan sebarang ancaman oleh kuasa Barat.Akibat konflik antara Rusia dan Barat kini diterjemahkan dalam bentuk pencerobohan semasa Rusia ke atas Ukraine,”katanya.
Jelas Mohd. Azmi lagi, malah tindakan sekatan dan ancaman berterusan kepada Rusia juga tidak akan menghentikan operasi ketenteraan negara itu di Ukraine berdasarkan keupayaan ekonomi serta pertahanannya. –UTUSAN ONLINE